Kes kematian Irene Sofiya: Pemuda Pas gesa siasatan menyeluruh, persoal tahap keselamatan sekolah

DEWAN Pemuda Pas Pusat menggesa siasatan segera dan menyeluruh dijalankan berhubung kematian seorang pelajar Tingkatan Empat di sebuah sekolah di daerah Yong Peng sambil mempersoalkan aspek keselamatan murid dan pelajar di institusi pendidikan.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kejadian itu menimbulkan persoalan sama ada sekolah masih mampu menjadi persekitaran yang selamat untuk anak-anak mendapatkan pendidikan.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, kejadian tersebut menambah kebimbangan susulan beberapa tragedi yang dilaporkan berlaku dalam institusi pendidikan sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, isu keselamatan sekolah perlu diberi perhatian serius, termasuk dakwaan berkaitan buli dan kejadian yang melibatkan kematian pelajar.

“Pemuda Pas Malaysia turut menyarankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenal pasti permasalahan akar yang berlaku dalam institusi pendidikan, khususnya berkaitan aspek akhlak, moral dan disiplin murid,” katanya dalam kenyataan itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ditemukan dalam keadaan kritikal oleh rakan dan neneknya selepas tidak pulang ke rumah sebaik kelas tambahan selesai.

Ketika ditemukan, terdapat kesan darah kering pada badan mangsa selain lebam seolah-olah dipukul. Turut ditemukan pasu pecah berdekatan mangsa.

Afnan Hamimi turut membangkitkan persoalan mengenai tahap ketegasan yang boleh dilaksanakan oleh golongan pendidik dalam menangani isu disiplin murid ketika ini.

Beliau mempersoalkan sama ada terdapat batasan tertentu dalam tindakan pendidik sehingga menjejaskan usaha membentuk disiplin dan pertimbangan dalam kalangan murid.

“Pemuda Pas Malaysia pada masa sama menegaskan keperluan supaya punca sebenar kejadian di Yong Peng dikenal pasti menerusi siasatan yang menyeluruh,” tegas beliau.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here