GERAK hati seorang anak yang hairan apabila nasi dihantar kepada ibunya masih tergantung di pagar rumah membawa kepada penemuan wanita warga emas itu yang sudah meninggal dunia di kawasan semak di belakang rumahnya di Kampung Pengkalan Baru di Bachok semalam.
Che Bidah Sulung, 85, ditemukan anak sulungnya, Hilmiah Hamzah, lingkungan 60-an kira-kira jam 3 petang selepas wanita itu menyedari ibunya tidak berada di dalam rumah.
Anak kedua mangsa, Hindun Hamzah, 58, berkata, kakaknya datang menghantar nasi ke rumah ibu mereka kira-kira jam 10.30 pagi dan menggantungkannya di pagar seperti rutin biasa.
“Mak tinggal seorang diri di rumah itu dan rutin anak-anak serta anak saudara akan hantar makanan ke rumahnya.
“Tetapi apabila kakak datang semula dan mendapati nasi yang dihantar masih tidak diambil, dia mula mencari mak di sekitar rumah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurut Hindun, pencarian itu kemudian membawa kakaknya ke kawasan semak di belakang rumah sebelum menemukan ibu mereka sudah tidak bernyawa.
Katanya, Che Bidah merupakan seorang yang aktif dan gemar membersihkan kawasan sekitar rumah.
“Mak juga tiada sebarang penyakit dan kami masih terkejut dengan kejadian ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
“Mayat wanita itu dibawa ke Hospital Bachok untuk tindakan lanjut, manakala siasatan dijalankan bagi mengetahui punca kematian,” katanya.





