MAHKAMAH Majistret Batu Pahat hari ini menjatuhkan hukuman denda RM9,000 ke atas seorang pemandu lori selepas dia mengaku bersalah memandu dalam keadaan cuai sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan lapan buah kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) antara Yong Peng dan Pagoh, awal bulan ini.
Majistret Mustaqim Sukarno menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Md Asmawi Alias, 54, selepas berpuas hati terhadap pengakuan bersalah, selain mengambil kira rayuan dikemukakannya.
Pada masa sama, mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda itu. Tertuduh kemudian membayar denda terbabit.
Mahkamah juga mengarahkan sabitan hari ini dimasukkan pada lesen memandu tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Md Asmawi didakwa memandu tanpa kecermatan dan perhatian sepatutnya hingga menyebabkan kemalangan di Kilometer 128.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara kira-kira jam 12 tengah hari pada 4 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 dan penjara selama 12 bulan serta sabitan dimasukkan pada lesen memandu tertuduh.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan berhubung kemalangan jalan raya membabitkan lapan buah kenderaan pada 4 Ogos lalu.
Siasatan mendapati, ketika kejadian tertuduh dalam perjalanan dari Johor Bahru menghala ke Shah Alam.
Terdapat kesesakan di lebuh raya pada ketika itu dengan semua kenderaan berhenti, namun kenderaan yang dipandu tertuduh tiba-tiba hilang kawalan dan gagal berhenti lalu merempuh tujuh buah kenderaan di hadapannya.
Akibat kemalangan itu, sebuah kereta jenis Volkswagen Polo mengalami kerosakan sepenuhnya.
Hasil siasatan mendapati tertuduh melakukan kesalahan kerana memandu tanpa kecermatan dan perhatian terhadap orang lain yang menggunakan jalan itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam Kamarulariffin Nordin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).





