POLIS telah merakam keterangan 10 pelajar yang namanya tular di media sosial bagi membantu siasatan kes seorang pelajar perempuan yang ditikam di sebuah sekolah menengah di Banting, Isnin lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, rakaman percakapan itu adalah sebahagian daripada siasatan menyeluruh yang sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.
Menurutnya, setakat ini polis masih belum membuat sebarang kesimpulan berhubung punca kejadian kerana siasatan masih di peringkat awal.
“Banyak rakaman percakapan telah diambil termasuk melibatkan 10 pelajar yang namanya tular di media sosial dan dikaitkan dengan kes berkenaan.
“Siasatan masih berjalan dan belum selesai sepenuhnya. Jadi saya minta orang ramai memberi ruang kepada pegawai penyiasat menjalankan siasatan secara menyeluruh sebelum membuat sebarang kesimpulan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Shazeli berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai memendam perasaan tidak puas hati terhadap beberapa individu yang didakwa pernah membulinya.
Bagaimanapun, katanya, dakwaan tersebut masih belum disokong dengan keterangan yang menunjukkan kejadian buli benar-benar berlaku.
Beliau berkata, polis turut meneliti semua aspek termasuk latar belakang suspek serta hubungan dengan individu yang dikaitkan dalam kes berkenaan bagi memastikan motif sebenar dapat dirungkai.
Katanya, siasatan dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan tindakan yang diambil berasaskan fakta dan bukti, bukan spekulasi yang tular di media sosial.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi Isnin lalu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga cedera selepas dipercayai ditikam menggunakan pisau oleh rakan sekolahnya di kantin.
Mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk paru-paru dan kini masih menerima rawatan di hospital, manakala suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.






