KERTAS siasatan kes seorang wanita yang mendakwa dicederakan di tempat awam akan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, mangsa berusia 40 tahun itu bukan sahaja mengalami kecederaan, malah turut diugut selain kenderaannya dirosakkan.
Menurutnya, kejadian dilaporkan selepas wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Balik Pulau pada Sabtu lalu.
“Kejadian berlaku di Jalan Tun Sardon dan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham membabitkan dua lelaki warga tempatan.
“Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Balik Pulau,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Barat Daya telah menahan dua lelaki bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323, Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut,” katanya.


