ISU berkaitan kecacatan pada dokumen perintah mahkamah atau order of discharge melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, terus mencetuskan perbincangan hangat di peringkat nasional.
Perkara ini timbul susulan keputusan yang dikaitkan dengan pelaksanaan tahanan rumah, di mana dokumen tersebut dilaporkan mengandungi kekeliruan ketara berhubung terma pelepasan.
Mengulas mengenai polemik ini, pakar geostrategis dan penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan berpandangan, isu utama yang perlu diberi perhatian serius adalah bagaimana dokumen rasmi kehakiman boleh mengalami kecacatan teknikal yang begitu ketara.

Menurut beliau, situasi di mana dokumen tersebut menggunakan terma pelepasan sedangkan kerangka asalnya merujuk kepada Perintah Pengampunan Yang di-Pertuan Agong yang menetapkan pengurangan hukuman melalui tahanan rumah dan bukannya pengampunan penuh menimbulkan tanda tanya besar mengenai ketelitian pentadbiran di peringkat pengurusan dokumen mahkamah.
“Jika benar dokumen itu dilepaskan tanpa merujuk baki hukuman yang sepatutnya, ia satu kecacatan yang terlalu ketara dan tidak sepatutnya berlaku dalam sistem perundangan negara kita,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.
Beliau ditanya mengenai perintah mahkamah yang menggunakan perkataan discharge forthwith terhadap Najib perlu diteliti dengan mengambil kira Perintah Pengampunan Yang di-Pertuan Agong yang sebelum ini memberikan pengurangan hukuman dengan pelaksanaan melalui tahanan rumah, bukannya pengampunan penuh.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar sebelum ini menegaskan, kecacatan pada dokumen order of discharge Najib berkaitan tahanan rumah adalah sesuatu yang ketara dan tidak sepatutnya berlaku dalam sistem perundangan negara.
Mohd Dusuki secara terbuka mengakui bahawa kecacatan pada dokumen order of discharge tersebut adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak sepatutnya terjadi dalam sistem perundangan yang berintegriti.
Azmi berpendapat, ketiadaan perincian terbuka mengenai di peringkat mana kesilapan itu berlaku telah membuka ruang kepada pelbagai andaian dan spekulasi dalam kalangan masyarakat.
“Dalam konteks perundangan yang telus, kesilapan teknikal sebegini wajar dijelaskan secara terperinci bagi mengelakkan kekeliruan awam serta menjaga kredibiliti badan kehakiman.
“Bagi pihak pengamal undang-undang dan pemerhati politik, pengajaran terbesar daripada insiden ini ialah kepentingan ketelitian yang maksimum dalam pengeluaran sebarang dokumen rasmi mahkamah berprofil tinggi,” katanya.
Beliau menambah, dokumen kehakiman tidak seharusnya dibiarkan menjadi punca kepada polemik atau tafsiran politik yang boleh dielakkan sekiranya ia disemak dengan teliti sejak dari peringkat awal.




