Kesilapan perkeranian tak harus dianggap sesuatu perintah terbatal

Kesilapan perkeranian (clerical error) dalam dokumen mahkamah tidak seharusnya dianggap secara automatik menyebabkan sesuatu perintah terbatal atau hilang kesahihannya, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan sama ada kesilapan itu menjejaskan maksud dan kesan undang-undang perintah berkenaan.

Peguam merangkap Rakan Pengurusan Tetuan Aimee & Zaim Arif, Sabrina Mohd, berkata perkara paling penting ialah membezakan antara kesilapan teknikal atau perkeranian dengan kecacatan substantif yang boleh menjejaskan kesahan sesuatu perintah mahkamah.

Berikut kenyataan penuh beliau kepada utusanmelayuplus:

Pada pandangan saya, kita perlu membezakan antara ‘clerical error’ atau ‘kecacatan substantif’ yang boleh menjejaskan kesahan sesuatu perintah mahkamah. Bukan semua kesilapan dalam dokumen mahkamah menyebabkan sesuatu perintah itu tidak sah.

Sekiranya kesilapan tersebut hanya melibatkan penggunaan istilah Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, kesilapan terjemahan atau ketidakselarasan teknikal yang tidak mengubah maksud sebenar perintah, maka ia tidak sepatutnya secara automatik menjejaskan kesahan atau kuat kuasa perintah tersebut.

Dalam undang-undang, apa yang lebih penting ialah maksud dan kesan sebenar sesuatu perintah, bukannya semata-mata kesempurnaan bahasa atau perkataan yang digunakan. Namun, sekiranya kesilapan tersebut mengubah arahan, syarat atau maksud sebenar perintah, maka perkara itu perlu diteliti dengan lebih mendalam.

Perkara seperti ini boleh berlaku disebabkan oleh human error atau system error. Ia merupakan sesuatu yang boleh berlaku dalam mana-mana sistem pentadbiran, termasuk sistem kehakiman. Kita perlu faham bahawa walaupun sistem mahkamah semakin banyak menggunakan teknologi dan pendigitalan, masih terdapat banyak proses yang melibatkan campur tangan manusia.

Kebiasaannya, sesuatu perintah mahkamah bermula dengan keputusan yang diberikan oleh hakim semasa prosiding atau pendengaran. Keputusan tersebut akan direkodkan terlebih dahulu.

Selepas itu, dokumen perintah bertulis akan disediakan berdasarkan keputusan yang telah diberikan. Dokumen tersebut kemudiannya melalui proses pemfailan, semakan dan pengesahan oleh pihak yang berkenaan, termasuk pihak pendaftar mahkamah, bergantung kepada prosedur yang digunakan.

Jadi, sekiranya berlaku kesilapan teknikal ketika penyediaan dokumen bertulis, ia tidak semestinya bermaksud keputusan asal mahkamah itu sendiri turut terjejas. Saya faham mengapa perkara ini mendapat perhatian masyarakat. Apabila melibatkan dokumen rasmi mahkamah, sudah tentu orang awam akan mempersoalkan bagaimana kesilapan seperti ini boleh berlaku.

Namun, dari perspektif seorang pengamal undang-undang, kesilapan perkeranian bukanlah sesuatu yang asing dalam amalan guaman di Malaysia.

Kita menggunakan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam urusan undang-undang. Malah, banyak proses penyediaan dokumen masih melibatkan kerja manusia. Jadi, kesilapan teknikal seperti kesilapan menaip, penggunaan istilah atau terjemahan boleh berlaku.

Alhamdulillah, sistem kita masih mempunyai ruang untuk pembetulan dan penambahbaikan. Apa yang lebih penting ialah sama ada kesilapan tersebut menyebabkan prejudis kepada mana-mana pihak atau mengubah maksud sebenar sesuatu perintah.

Sekiranya kesilapan itu hanya bersifat perkeranian dan tidak mengubah maksud atau kesan undang-undang perintah tersebut, kita tidak seharusnya terus membuat kesimpulan bahawa perintah itu tidak sah atau tidak lagi berkuat kuasa.

Bagi prosiding sivil, rujukan yang relevan ialah Aturan 20 Kaedah 11 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, yang membenarkan mahkamah membetulkan kesilapan perkeranian atau kesilapan tidak sengaja dalam penghakiman dan perintah.

Walau bagaimanapun, bagi prosiding jenayah seperti kes SRC, rujukan yang lebih relevan ialah Seksyen 422 Kanun Tatacara Jenayah, yang memperuntukkan bahawa kesilapan atau ketidakteraturan tidak dengan sendirinya membatalkan sesuatu keputusan atau perintah melainkan ia menyebabkan kegagalan keadilan (failure of justice).

Dari segi tanggungjawab, pihak pendaftar mahkamah dan pegawai yang terlibat dalam penyediaan serta pemprosesan dokumen perlu memastikan ketepatan dokumen yang dikeluarkan. Pihak peguam juga mempunyai tanggungjawab untuk menyemak dokumen dan membangkitkan sebarang kesilapan kepada mahkamah.

Pada saya, perkara paling penting ialah pembetulan sesuatu kesilapan perkeranian tidak semestinya menyebabkan perintah asal tertangguh atau terbatal. Selagi kesilapan tersebut tidak menjejaskan maksud dan kesan undang-undang perintah, ia boleh diperbetulkan mengikut prosedur yang sewajarnya tanpa menganggap bahawa perintah asal telah hilang kuat kuasanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here