KEMENTERIAN Perladangan dan Komoditi (KPK) telah melaksanakan proses libat urus teknikal bersama syarikat petroleum bagi memastikan rantaian bekalan dan logistik bersedia sepenuhnya untuk pelaksanaan peningkatan adunan biodiesel daripada B10 kepada B15.
Dalam satu kenyataan, Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pelaksanaan kadar adunan baharu itu akan berkuat kuasa secara rasmi bermula 1 Jun depan, termasuk membabitkan kesiapsiagaan infrastruktur di depoh-depoh adunan di seluruh negara.
“Kadar adunan baharu ini dilancarkan menerusi mekanisme yang diselaraskan melalui Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Biobahan Api.
“Pelaksanaan inisiatif ini dapat mengurangkan kebergantungan import diesel petroleum, memanjangkan stok bekalan sedia ada, menstabilkan harga minyak sawit mentah (CPO) domestik dan mengurangkan pelepasan karbon sektor pengangkutan.
“Langkah ini sejajar dengan hasrat Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, peralihan kepada B15 membuktikan kesiapsiagaan infrastruktur, kejuruteraan dan teknologi tempatan dalam menyokong agenda tenaga boleh baharu.
“Ini sekali gus memberi isyarat jelas komitmen Malaysia untuk mengoptimumkan penggunaan minyak sawit bagi sektor tenaga domestik tanpa menjejaskan bekalan pasaran eksport,” katanya.
Dalam pada itu, bagi peringkat penguatkuasaan, Noraini berkata, KPK kini bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
‘’Inisiatif penerangan awam turut diselaraskan bersama Kementerian Komunikasi bagi memastikan maklumat yang tepat sampai kepada pengguna,’’ katanya.


