
GABUNGAN Perikatan Nasional (PN) terutama Pas bersedia menjalin kerjasama termasuk menyumbang kerusi kepada UMNO sekiranya parti berkenaan tidak memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, gabungan itu juga bersedia menyokong UMNO menerajui jawatan Menteri Besar serta membentuk barisan Exco baharu kelak.
“Kalau UMNO menang, …UMNO jadi menteri besar. Suka hati UMNO nak lantik Exco orang dia atau siapa.
“Jika ada kelemahan (UMNO tidak memiliki majoriti), Pas boleh tampung kelemahan itu bergantung kepada kerusi yang kita menang, mungkin boleh bentuk kerajaan dengan simple majoriti (majoriti mudah).
“Kalau nak majoriti dua pertiga, kalau Pas cukup kerusi, cukup jumlah, Pas boleh tampung. Atau pun tak cukup majoriti, Pas boleh tampung. Yang penting kuasa politik Melayu Islam dan bukan Islam tak ekstrem.
“Kalau dia (UMNO) sudah cukup jumlah, tak jadi masalah,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ceramah Grand Finale PRN Johor di Simpang Jeram, Bakri di Muar malam tadi.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi PN merangkap Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta semua 11 calon Pas yang bertanding pada PRN ini.
Abdul Hadi berkata, Pas juga tidak akan meminta jawatan Menteri Besar Johor mahupun Exco kerajaan negeri.
Sementara itu, dalam ucapannya, Abdul Hadi turut meminta pengundi UMNO turut membantu memberi undi kepada Pas di kerusi ditandinginya.
“Tempat UMNO tanding Pas tak tanding, orang Pas tolong orang UMNO. Maka tempat Pas orang UMNO kena tolong orang Pas, itu kita kiralah ini kesepakatan kita ambil.
“Kita mahu supaya parti yang mewarisi kemerdekaan seperti Pas, UMNO, MCA, MIC menerajui negeri,” katanya.






