PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Lee Chean Chung sudah kira-kira setahun tidak melibatkan diri dalam aktiviti dan urusan parti sebelum mengambil keputusan melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya hari ini.
Menurut Perdana Menteri, bekas ahli PKR itu juga tidak menghadiri mesyuarat atau kongres parti dalam tempoh berkenaan.
“Jadi sesuailah. Kalau sudah tidak berminat, tidak ada masalah. Pergi dengan baik. Terima kasih atas sumbangan selama ini.
“Kira-kira setahun tidak pernah campur soal urusan parti, mesyuarat-mesyuarat parti tidak pernah hadir, jadi kongres pun tidak hadir. Jadi tidak apalah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Kuarters Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi, lapor Sinar Harian.
Mengulas dakwaan Chean Chung bahawa peruntukan bagi kawasan Petaling Jaya disekat, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan tetap memastikan projek pembangunan di kawasan berkenaan diteruskan.
Katanya, pelaksanaan projek termasuk membabitkan sekolah, surau, masjid, tokong dan jalan raya tidak terhenti susulan perkembangan politik melibatkan Ahli Parlimen kawasan berkenaan.
“Beliau mahu memberikan pandangan, kita boleh terima. Tapi tidak semestinya Ahli Parlimen itu berhenti (meletakkan jawatan), projek juga berhenti. Tak betul,” katanya.
Mengenai kemungkinan tindakan undang-undang diambil PKR terhadap Chean Chung, Anwar berkata, perkara itu akan ditentukan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh bersama Jawatankuasa Perundangan parti yang turut melibatkan Sivarasa Rasiah.
Chean Chung hari ini mengumumkan peletakan jawatan tanpa syarat sebagai Ahli Dewan Rakyat bagi kawasan Petaling Jaya, berkuat kuasa serta-merta.
Beliau sebelum itu memaklumkan surat peletakan jawatan tersebut telah diserahkan secara rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul semalam.
Perkembangan itu berlaku selepas Chean Chung pada 30 September lalu menerima keputusan penggantungan keahliannya dalam PKR selama tiga tahun.





