DATUK Seri Anwar Ibrahim sudah berhubung dengan Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah bagi memudah cara usaha membantu keluarga mangsa yang terlibat dalam bencana di negara itu.
Perdana Menteri berkata, Balendra memberi jaminan kerajaan Nepal akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menentukan status 54 rakyat Malaysia yang masih hilang, secepat mungkin.
“Saya telah berhubung dengan Perdana Menteri Nepal. Beliau sedia memberikan seluruh kerjasama. Kita telah meminta Peguam Negara untuk mengambil tindakan susulan.
“Mereka mempunyai undang-undang sendiri, begitu juga kita. Tempoh yang ditetapkan di negara kita ialah enam atau tujuh tahun, manakala di negara mereka pula tiga tahun.
“Tetapi kita masih boleh membuat permohonan kepada mahkamah dan beliau telah memberi jaminan bahawa beliau akan memberikan semua kerjasama yang diperlukan bagi memudah cara supaya keluarga mangsa boleh mendapatkan keputusan secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri taklimat projek Bandar Malaysia yang diselenggara oleh KLCC Property Holdings Bhd (KLCCP) di Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi hari ini, lapor Buletin TV3.
Jumlah rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi dalam tragedi banjir Nepal kini berkurangan kepada 54 orang selepas seorang daripada senarai asal 55 disahkan selamat dan telah kembali ke Malaysia.
Kerajaan Nepal sebelum ini dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah perundangan bagi menangani status individu yang masih belum dapat ditentukan susulan bencana di negara itu.
Wisma Putra memaklumkan, langkah berkenaan masih tertakluk kepada proses perundangan domestik Nepal dan belum berkuat kuasa setakat ini.





