’Kita mesti iktiraf negara Palestin sekarang, hentikan segera perang di Gaza’’ – desak Prabowo di PBB.

‘PRESIDEN Indonesia Prabowo Subiato dengan suara lantang dan tegas hari ini mendesak semua negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar segera mengiktiraf Palestin dan menyokong penyelesaian dua negara sebagai jalan menuju keamanan.

Tegas beliau, negara-negara yang mengiktiraf Palestin berada di pihak yang benar dalam sejarah.

“Siapa pun yang gagal bertindak, ingatlah, sejarah tidak akan berdiam diri! Kita mesti mengiktiraf Palestin sekarang! Kita mesti hentikan bencana kemanusiaan di Gaza! Kita mesti hentikan perang, dan itu harus menjadi matlamat utama kita! Kita mesti mengatasi kebencian, ketakutan, dan prasangka. Kita mesti wujudkan perdamaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Sidang Kemuncak Palestin dan Penyelesaian Dua Negara di PBB, New York.

Prabowo memuji langkah bersejarah yang diambil oleh Perancis, Kanada, Australia, United Kingdom, Portugal, dan banyak lagi negara lain yang secara rasmi telah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat.

“Pengiktirafan terhadap negara Palestin adalah peluang untuk mewujudkan keamanan yang berkekalan. Pengiktirafan itu harus difahami sebagai keamanan sebenar untuk semua pihak dan semua kelompok,” katanya.

Dalam ucapan itu, Prabowo turut mengecam segala bentuk kekerasan terhadap orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak di Gaza apabila puluhan ribu orang di Gaza telah terkorban akibat tindakan genosid oleh tentera Israel.

“Kami mengecam semua tindakan kekerasan terhadap orang awam. Oleh itu, hari ini, dengan penuh rasa bermaruah, kita berkumpul dalam detik bersejarah ini untuk sama-sama memikul tanggungjawab. Tanggungjawab yang kita pikul bersama ini bukan sahaja menentukan masa depan Palestin, tetapi juga masa depan Israel, dan kredibiliti PBB,” tegasnya.

Beliau berkata, Indonesia bersedia mengiktiraf Israel jika Israel mengiktiraf Palestin sebagai negara merdeka dan berdaulat.

‘’ Indonesia juga bersedia untuk menyatakan bahawa, apabila Israel mengiktiraf kemerdekaan dan status kenegaraan Palestin, Indonesia akan segera mengiktiraf Israel, dan kami akan menyokong segala jaminan terhadap keselamatan Israel,’’ katanya sambil diberi tepukan gemuruh oleh delegasi-delegasi seluruh dunia.

Dalam kesempatan sama, Presiden Prabowo menegaskan Deklarasi New York pada 12 September telah menyediakan jalan yang adil menuju perdamaian antara Israel dan Palestin.

Sehubungan beliau berkata, Indonesia bersedia mengerahkan pasukan tenteranya menyertai misi keamanan di Semanjung Gaza.

Kewujudan pasukan pengaman itu selaras Deklarasi New York, yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB  pada 12 September lalu.

Deklarasi itu mengandungi beberapa tuntutan bersama, antaranya mendesak pengiktirafan penuh terhadap Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, tuntutan gencatan senjata dan pelucutan senjata, serta tuntutan untuk membuka akses seluas-luasnya bagi bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza.

Dalam deklarasi yang sama, sebanyak 142 negara anggota PBB yang menerima pakai dokumen tersebut telah bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan satu misi antarabangsa di bawah mandat Majlis Keselamatan PBB bagi memulihkan kestabilan dan keselamatan di Gaza.

Prabowo  mengakhiri ucapannya dengan menyeru negara-negara anggota PBB untuk bersatu mewujudkan perdamaian dan bersuara lantang menghentikan genosid di Gaza.

“Kita perlukan keamanan itu sekarang! Keamanan yang segera! Kita mesti wujudkan keamanan!” tegas beliau.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img