
Oleh MUHAMAD MAT YAKIM
PAS dalam muktamar tahunannya yang ke-71 di Kedah minggu lalu telah meluluskan – buat pertama kali – usul untuk mengkehadapankan pemimpin parti itu sebagai calon Perdana Menteri jika PN menang pilihan raya akan datang.
Lulusnya usul itu segera mencetuskan polemik dalam kalangan lawan mahupun kawan yang terus berlarutan hingga minggu ini.
Pemimpin parti lawan – UMNO, PKR dan Amanah – melihat ini ‘bola tanggung’ untuk melagakan Pas dengan Bersatu manakala di pihak Bersatu, tidak kurang juga yang melompat. Lantaran itu, tuduhan Pas gila kuasa berkumandang di serata media oleh pihak yang tidak dapat menerima kehadiran parti itu sebagai pemegang tampuk kuasa.
Kalaulah Pas dipimpin oleh mereka yang gila kuasa, perhatikan dua senario ini.
Pada tahun 2014, ketika kemuncak krisis politik dalaman PKR di Selangor yang bersebab dengan Langkah Kajang, Pas pada masa itu sebenarnya sudah berada di ambang kuasa. Parti itu boleh mengambil alih jawatan Menteri Besar daripada PKR jika mahu.
Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor ketika itu dipecat oleh partinya sendiri kerana enggan meletak jawatan. Khalid telah difitnah oleh pemimpin PKR dengan pelbagai tuduhan dan diarahkan meletak jawatan namun dia enggan.
Rakyat Selangor kuat menyokong Khalid kerana beberapa langkah bijaksana yang dilakukan kerajaan pimpinannya sejak mengambil alih pentadbiran negeri daripada BN selepas PRU-12 pada tahun 2008, ternyata menguntungkan orang ramai.
Ini termasuk pemberian bekalan air terawat secara percuma 20 meter padu setiap bulan, dan juga Skim Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS). Menerusi TAWAS, setiap anak yang dilahirkan di Selangor bermula 1 Januari 2008 diberi manfaat simpanan RM1,500 apabila usia mencapai 18 tahun.
Bukan rakyat sahaja, pihak Istana Selangor juga dilaporkan selesa berurusan dengan Khalid. Ini menyebabkan pemecatannya daripada PKR yang dikira tanpa sebab tidak dapat diterima oleh sesiapa juga yang berada di luar kumpulan yang mencetuskan tindakan itu.
Ini termasuklah pemimpin-pemimpin Pas. Khalid sendiri bukan sekadar mempunyai hubungan yang baik malah cukup akrab dengan pimpinan utama Pas.
Ketika krisis dalaman PKR memuncak, tersebar gambar Khalid sedang berbual dengan dua pemimpin utama Pas iaitu Presiden Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Mustafa Ali. Gambar itu dikatakan dirakam di salah satu ruang di Bukit Megawati, kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Shah Alam.
Konflik itu mencapai kemuncak pada 27 Januari 2014 apabila ADUN Kajang, Lee Chen Cheh membuat pengumuman mengosongkan kerusi semata-mata untuk memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bertanding.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu memegang jawatan Ketua Umum PKR sebelum itu telah membuat pengumuman bahawa isterinya, Wan Azizah akan menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.
Tindakan itu – yang kemudian dikenali sebagai Langkah Kajang – ternyata amat mengejutkan pemimpin-pemimpin Pas. Ironinya, Pas telah bersungguh-sungguh berusaha meredakan konflik yang dicetuskan daripada perebutan kuasa dalam PKR agar tidak terus berlarutan hingga menjejaskan pentadbiran Kerajaan Negeri yang boleh memberi kesan buruk kepada rakyat.
Mustafa sendiri sebelum itu ada mengatakan bahawa kedudukan Khalid akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat (PR) sebelum Anwar secara tiba-tiba mengumumkan Khalid akan digantikan oleh isterinya, Wan Azizah.
Dalam keadaan Pas begitu menghormati hubungan dan semangat setiakawan dalam PR, Anwar membuat keputusan vice versa dan secara sepihak tanpa merujuk kepada Pas.
Pas pada masa itu memiliki 15 kerusi DUN Selangor, DAP juga 15 kerusi manakala PKR, 14 dan BN selaku pembangkang, 12 kerusi. Selepas Khalid dipecat daripada PKR, kerusi milik parti itu berkurang kepada 13.
Pemimpin Pas ketika itu benar-benar kecewa kerana tindakan mengosongkan kerusi semata-mata untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk membolehkan Wan Azizah bertanding dan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor adalah langkah yang amat tidak boleh diterima. Selain nepotisme yang jelas, lebih jelas lagi ia membazirkan wang rakyat dan banyak sumber.
Namun Pas tetap Pas.Ketika itu, ramai yang tertanya-tanya, mengapa pemimpin Pas terlalu baik, terlalu menjaga hubungan dan terlalu kuat setiakawan walaupun jelas Pas tidak dihormati malah boleh dikira telah dikhianati.
Pas boleh sahaja pelawa atau terima Khalid menyertai parti itu dan menyokongnya kekal sebagai Menteri Besar. Peluang untuk itu dikira cerah memandangkan Khalid sendiri diterima baik oleh pihak istana.
Komposisi di dalam DUN Selangor juga akan berubah dengan Pas menjadi majoriti 16 kerusi.Ada kemungkinan BN yang memiliki 12 kerusi juga menyokong Khalid dan sebilangan ADUN PKR yang pro Khalid juga boleh terus memberikan sokongan.
Ataupun, setidak tidaknya Pas boleh menyokong Khalid dikekalkan dengan status ADUN Bebas. Ada kemungkinan pola sokongan boleh berubah tanpa mengikut komposisi .
Baik pimpinan Pas mahupun Khalid sendiri, telah memperlihatkan sikap gentleman yang sangat tinggi. Mereka mahu meredakan segera konflik politik yang dicetuskan oleh pemimpin PKR yang jika dibiar berlarutan sudah tentu akan merugikan rakyat.
Dengan kedudukan Selangor sebagai hab utama ekonomi, ketidaktentuan politik negeri itu sudah tentu memberi kesan besar terhadap negara. Di sini kedua-duanya telah menunjukkan sifat negarawan sejati.
Pas bukan jenis yang ‘suka potong tang konar’. Pemimpin Pas bukan kumpulan orang yang suka mengambil kesempatan. Pas tetap menghormati keputusan yang dibuat oleh PKR memandangkan apa yang berlaku adalah konflik dalaman parti itu. Pas bukan tidak terkesan namun dikira bukan secara langsung.
Selepas menang PRK Kajang, nama Wan Azizah satu-satunya calon Menteri Besar Selangor yang dihantar untuk diperkenan oleh Istana. Sultan Selangor menitahkan satu nama lain turut dihantar untuk pertimbangan.
Sekali lagi Pas mengambil langkah terhormat tidak membawa nama calon parti itu sendiri, ataupun nama Khalid sebaliknya telah mencadangkan nama Azmin Ali yang ketika itu Timbalan Presiden PKR dan masih berstatus ‘orang kuat’ Anwar. Azmin diterima dan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Khalid.
Ironinya, krisis dalam PR tidak berhenti di situ. Selepas Langkah Kajang, perpecahan antara PKR dan Pas semakin meruncing. PKR mula menganggap Pas sebagai ancaman dari dalam selimut, ditambah pula dengan pelbagai isu membabitkan parti itu dengan DAP.
PKR yang semakin terdesak untuk meraih sokongan rakyat, mula berstrategi dengan pendekatan yang lebih agresif berbanding sebelumnya. Ini termasuk menguatkuasakan naratif merendahkan kredibiliti Pas di mata orang ramai. Peranan ini lebih kuat dimainkan oleh DAP.
Sikap setiakawan Pas bukan dalam isu melibatkan Khalid sahaja. Sebelum itu, pada tahun 2012, Exco Selangor Datuk Dr Hasan Ali dipecat daripada Pas atas beberapa kenyataannya termasuk menolak Anwar sebagai calon Perdana Menteri.
Ini bercanggah dengan keputusan parti yang sebelum itu telah bersetuju Anwar dinamakan sebagai calon Perdana Menteri PR.
Sebelum itu, Dr Hasan yang juga Exco Agama terbabit dengan kontroversi bertelagah dengan seorang Exco dari DAP, Ronnie Liu berhubung isu jualan arak di kawasan majoriti Muslim.
Dr Hasan yang juga Exco Kerajaan Tempatan mengarahkan PBT merampas arak dari kedai serbaneka yang ingkar larangan itu, dan tindakan itu dibantah keras oleh DAP.
Bukan itu sahaja. Sikap tidak mahu berebut jawatan oleh Pas paling jelas selepas PRU-15 ketika pemimpin parti-parti politik dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menamakan calon Perdana Menteri.
Meskipun muncul sebagai parti yang menang dengan kerusi terbanyak ‘as a single party’ di Dewan Rakyat, Pas tidak berebut untuk menampilkan calonnya sendiri, sebaliknya tetap mengemukakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai satu-satunya calon PN.
Bukanlah rahsia lagi bahawa ada cakap-cakap yang berlegar dalam kalangan orang awam, Pas berpeluang cerah untuk mendapat Perdana Menteri yang pertama sekiranya Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang dibawa ke hadapan Al-Sultan Abdullah.
Ini jelas menunjukkan pemimpin PAS di sebalik pelbagai tohmahan lawan, malahan juga kawan tetap menampilkan semangat setiakawan yang tinggi, tidak tamak kuasa dan bukan ‘kaki potong tang konar’.
Inilah ciri-ciri pimpinan politik yang terbaik yang jadi harapan dan diperlukan oleh rakyat Malaysia dan inilah masanya!
*Penulis adalah Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah.
*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian utusanmelayuplus.com


