Komitmen tugas halang Shuhaily terima jawatan Timbalan Pengerusi Integriti FAM

DATUK Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain tidak dapat meneruskan pelantikan sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Integriti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berikutan kekangan masa dan komitmen terhadap tugas hakikinya.

FAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan itu dibuat mengambil kira tanggungjawab Mohd Shuhaily sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Badan induk bola sepak negara itu berkata, pihaknya menghormati keputusan berkenaan dan menghargai kesediaan Mohd Shuhaily sebelum ini untuk menyumbang kepada usaha memperkukuh integriti serta tadbir urus FAM.

“FAM menghormati keputusan tersebut serta merakamkan penghargaan kepada Dato’ Sri Mohd Shuhaily atas kesediaan dan komitmen beliau sebelum ini untuk membantu FAM dalam memperkukuhkan aspek integriti dan tadbir urus,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, FAM memberi jaminan bahawa fungsi Jawatankuasa Integriti akan terus berjalan seperti biasa bagi memastikan usaha mempertingkatkan tahap integriti dan tadbir urus organisasi berkenaan tidak terjejas.

Sebelum ini, FAM mengumumkan Mohd Shuhaily sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Integriti badan itu yang dipengerusikan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Pelantikan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha FAM memperkukuh aspek integriti dan tadbir urus dalam pengurusan badan induk bola sepak negara.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here