PERANG di Asia Barat yang memasuki hari ketiga terus menjejaskan penerbangan global, khususnya laluan komersial yang merentasi rantau itu, susulan penutupan lapangan terbang utama dan sekatan ruang udara serantau sehingga mengakibatkan kira-kira 2,000 penerbangan dibatalkan.
Serangan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran pada Sabtu lalu, diikuti tindakan balas Tehran terhadap beberapa negara serantau, turut memberi kesan kepada syarikat penerbangan Malaysia apabila banyak perkhidmatan ke lapangan terbang utama di rantau itu digantung.

Penerbangan masuk dan keluar tujuh lapangan terbang utama di Teluk iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed, Lapangan Terbang Antarabangsa Sharjah, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait, Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain serta Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum telah dibatalkan.
Menurut FlightRadar24, Israel, Iran, Syria, Qatar, Bahrain dan Kuwait menutup ruang udara masing-masing sejak 28 Februari. Lubnan dan Jordan pula dibuka tetapi dengan aktiviti penerbangan amat terhad. Emiriah Arab Bersatu (UAE) dibuka secara teknikal, namun tiada aktiviti penerbangan berikutan sekatan. Afghanistan masih dibuka tetapi mengeluarkan amaran susulan serangan udara oleh Pakistan baru-baru ini, manakala Pakistan turut dibuka dengan amaran.
Di Abu Dhabi, penutupan ruang udara serantau terus menjejaskan operasi Etihad Airways apabila semua penerbangan masuk dan keluar digantung sehingga jam 2 petang waktu UAE pada 3 Mac. Bagaimanapun, FlightRadar24 memaparkan sebuah penerbangan penumpang yang baru berlepas dari Abu Dhabi.
Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad memaklumkan operasi penerbangan kekal digantung sementara dan hanya akan disambung semula selepas Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Qatar mengumumkan pembukaan ruang udara dengan selamat.
“Penumpang dinasihatkan supaya tidak pergi ke lapangan terbang,” menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi platform X hari ini.
Notis kepada Misi Udara (NOTAM) turut dikeluarkan memaklumkan ruang udara Jordan ditutup setiap hari antara jam 1500 hingga 0600 UTC sehingga 5 Mac. Penutupan itu berkuat kuasa hari ini pada 1500 UTC (6 petang waktu tempatan Jordan).
FlightRadar24 berkata, NOTAM berkaitan penutupan ruang udara di rantau itu telah dilanjutkan beberapa kali. Setakat ini, notis penutupan Arab Saudi berakhir pada 3 Mac, manakala Iraq, Qatar, Bahrain, Kuwait, Syria dan UAE tamat tempoh hari ini. Ruang udara Oman bagaimanapun kekal dibuka dan semua lapangan terbang di negara itu terus beroperasi.
Bagi syarikat penerbangan, Emirates menggantung sementara semua operasi masuk dan keluar Dubai sehingga jam 3 petang waktu UAE pada 3 Mac susulan penutupan ruang udara serantau.
Menurut Emirates menerusi platform X, situasi berkenaan kekal dinamik dan akan dinilai secara berterusan. Syarikat itu turut menggesa penumpang menyemak status penerbangan terkini sebelum ke lapangan terbang.
Saudia membatalkan penerbangan masuk dan keluar Kuwait, Abu Dhabi, Doha, Moscow serta Bahrain sehingga hari ini, manakala Oman Air membatalkan penerbangan ke Dubai, Bahrain dan Kuwait.
Turkish Airlines pula membatalkan semua penerbangan masuk dan keluar Arab Saudi, Iraq, Iran, Kuwait, Lubnan, Oman, Qatar, UAE serta Syria.
Di Malaysia, Malaysia Airlines melanjutkan penggantungan semua penerbangan masuk dan keluar Doha, Jeddah serta Madinah sehingga 4 Mac, selepas pembatalan dilaksanakan dari 28 Februari hingga 1 Mac.
Batik Air turut membatalkan perkhidmatan berjadual antara Kuala Lumpur dan Dubai hari ini, manakala Thai AirAsia X membatalkan penerbangan masuk dan keluar Riyadh.
Selain itu, Air India dan Garuda Indonesia menggantung semua penerbangan masuk dan keluar rantau Teluk.
Syarikat penerbangan Eropah termasuk British Airways, KLM, Lufthansa, Swiss International Air Lines, Eurowings, Austrian Airlines, ITA Airways dan Brussels Airlines turut menggantung penerbangan sehingga 8 Mac.
Penganalisis dan perunding bebas dari Singapura, Brendan Sobie berkata, konflik semasa jelas memberi kesan global, namun syarikat penerbangan Asia Barat paling terjejas.
“Kedua-dua faktor hasil dan muatan berkemungkinan meningkat bagi syarikat penerbangan Asia yang mengendalikan laluan ke Eropah sepanjang krisis ini, lebih daripada sekadar mengimbangi kos yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan perkembangan itu tidak baik untuk industri penerbangan global.


