Koperal mengaku tidak bersalah terima suapan RM3,000

SEORANG anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tiga pertuduhan bersetuju menerima suapan berjumlah RM3,000 daripada seorang wanita, dua tahun lalu.

Hazizan Zainuddin, 37, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N Kanageswari.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak didakwa bersetuju menerima wang tunai masing-masing RM2,400, RM550 dan RM50 tanpa balasan daripada seorang wanita berusia 47 tahun.

Wang berjumlah RM3,000 itu didakwa dipindahkan melalui akaun bank milik seorang lelaki berusia 38 tahun ke akaun tertuduh, sedangkan dia mengetahui wang berkenaan mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan supaya tertuduh tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang lelaki berusia 44 tahun yang melakukan kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank cawangan Labis, Taman Orkid Baru, Labis, Segamat, pada 30 Oktober 2024, lapor BH.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Alice Voon Mei Ling, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Bharathi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Tertuduh difahamkan sudah membayar wang jaminan.

Mahkamah menetapkan 11 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here