Koperal mengaku tak bersalah cederakan tujuh anggota

SEORANG anggota tentera berpangkat Koperal mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap anggota tentera lain di Mahkamah Sesyen Bentong, hari ini.

Tertuduh, Sukry Tasu, 37, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Muhammad Aiman Azahan.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 8.30 malam di stor senjata Kompeni C, Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 30 Mac lalu.

Bagi enam lagi pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan terhadap enam mangsa lain iaitu Mohamad Atiqillah Taugek Rashidi, Muhammad Syakirin Yaacob, Muhammad Azman Shah Ismail, Nik Amir Zaqwan Nik Asrizal, Muhammad Irfan Aiman Mohd Tajudin dan Muhammad Danial Asraf Azizan.

Kesemua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi pertuduhan pertama, manakala RM2,000 bagi setiap pertuduhan kedua hingga ketujuh dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh tidak menghampiri atau mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Hafiz Baharudin.

Mahkamah menetapkan 18 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img