Pegawai tadbir tidak mengaku terima suapan RM20,100

SEORANG pegawai tadbir sebuah yayasan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas 11 pertuduhan menerima wang suapan berjumlah RM20,100 daripada dua individu yang mempunyai urusan rasmi dengannya, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Zairil Nor Azman, 51, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Bahagian Pentadbiran sebuah yayasan didakwa menerima wang berjumlah keseluruhan RM20,100 tanpa balasan daripada dua lelaki.

Wang tersebut diterima menerusi pindahan dalam talian ke akaun bank miliknya, sedangkan tertuduh mengetahui kedua-dua pemberi wang itu mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Senawang antara Januari hingga November 2023.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syairah Aqilah Khalil menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi semua pertuduhan.

Peguam Hanif Idris yang mewakili tertuduh memaklumkan pihak pembelaan tidak membantah jumlah jaminan yang dicadangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 28 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img