KPDN nafi kesan air dalam tangki RON95 stesen minyak Batu Kawan

PEMERIKSAAN Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang mendapati tiada tanda kehadiran air dalam tangki simpanan petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Batu Kawan yang dikaitkan dengan dakwaan kenderaan pengguna mengalami masalah selepas mengisi minyak.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan berkata, pemeriksaan dijalankan hari ini bersama wakil syarikat minyak dan pengusaha stesen berkenaan susulan dakwaan yang tular dalam media sosial.

Menurutnya, pemeriksaan itu turut merangkumi penelitian terhadap sistem penyimpanan dan pengeluaran bahan api bagi mengenal pasti kemungkinan berlaku pencemaran atau kehadiran air dalam tangki.

“Semakan terhadap rekod ‘Automatic Tank Gauge’ (ATG) bagi tangki RON95 secara menyeluruh, meliputi bacaan semasa pemeriksaan serta rekod bagi tempoh tiga hari terdahulu, mendapati tiada bacaan yang menunjukkan kehadiran air dalam tangki berkenaan sepanjang tempoh yang disemak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, beberapa pengguna media sosial mendakwa kenderaan mereka mengalami masalah selepas mengisi petrol di stesen berkenaan, termasuk tidak dapat dihidupkan semula.

Dakwaan berkenaan turut mencetuskan spekulasi bahawa bahan api yang dibekalkan mungkin tercemar atau bercampur air, sekali gus mendorong pemeriksaan dijalankan pihak berkuasa.

Jegan berkata, pemeriksaan fizikal di kawasan pam dan bahagian tangki simpanan juga tidak menemukan sebarang pengumpulan air, selain pemeluwapan yang dianggap biasa.

Pemeriksaan manual turut dilakukan menerusi kaedah ‘dipping’ terhadap kedua-dua tangki RON95 menggunakan ‘Water Finding Paste’ (WFP) bagi mengesan sekiranya terdapat air dalam tangki.

Jegan menambah, WFP sepatutnya berubah warna sekiranya bersentuhan dengan air, namun tiada perubahan warna berlaku ketika pemeriksaan dijalankan.

“Pemeriksaan secara visual juga telah dibuat terhadap bahan api yang dikeluarkan daripada semua muncung pam dan mendapati bahan api yang dikeluarkan kelihatan jernih serta tiada pencemaran dapat dikesan secara pemerhatian mata kasar,” katanya.

Bagaimanapun, KPDN Pulau Pinang bersama syarikat minyak dan pengusaha stesen akan meneruskan tindakan susulan bagi memastikan perkara itu diselesaikan secara menyeluruh.

Kerjasama itu katanya, penting bagi memastikan aspek keselamatan serta kepentingan pengguna terus diberi keutamaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here