KPDN Selangor periksa tujuh stesen minyak dakwaan petrol bercampur air

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor memeriksa tujuh stesen minyak dan mengambil 27 sampel petrol RON95 bagi siasatan dakwaan pencemaran air yang menjejaskan kenderaan pengguna.

KPDN Selangor dalam kenyataan memaklumkan, tindakan penguatkuasaan dan siasatan lapangan dijalankan pada 16 Oktober lalu susulan aduan orang awam serta laporan tular mengenai beberapa kenderaan mengalami masalah teknikal selepas mengisi petrol di stesen minyak sekitar Selangor.

Menurutnya, sebanyak 10 aduan rasmi membabitkan tujuh premis stesen minyak disiasat, manakala 27 tin sampel petrol RON95 diambil daripada pam pengisian yang terjejas untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi analisis makmal.

Aduan pengguna merangkumi pelbagai masalah enjin termasuk bunyi tidak normal, tersengguk-sengguk, kehilangan kuasa dan gagal dihidupkan, selain terdapat kes injap enjin terbakar.

“Pemeriksaan lanjut oleh pusat servis pengeluar kenderaan turut mengesahkan bahawa kerosakan enjin bagi sesetengah kenderaan pengadu adalah berpunca daripada pencemaran air dalam tangki bahan api,” menurut kenyataan itu.

KPDN Selangor memaklumkan, pemeriksaan awal mendapati semua premis terbabit mempunyai Lesen Kebenaran Khas (CSA) dan lesen di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) yang masih sah.

Bagaimanapun, notis di bawah Seksyen 32 Akta Perihal Dagangan 2011 dikeluarkan bagi menghendaki pemilik premis mengemukakan maklumat dan dokumen berkaitan perniagaan untuk membantu siasatan.

Siasatan turut dijalankan berhubung kemungkinan pelanggaran Seksyen 5(1)(c), dibaca bersama Seksyen 6(1)(d) dan Seksyen 7 akta sama, berkaitan dakwaan perihal dagangan palsu berhubung kandungan petrol yang dibekalkan.

Dalam pada itu, KPDN Selangor mengingatkan syarikat minyak dan pengusaha stesen supaya menyelenggara tangki simpanan bawah tanah secara berkala serta mematuhi standard keselamatan dan kualiti ditetapkan.

Pengguna yang terjejas turut dinasihatkan menyimpan resit rasmi pengisian petrol dan laporan pemeriksaan bengkel sebagai dokumen sokongan bagi tujuan aduan serta membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan boleh menghubungi KPDN melalui WhatsApp 019-848 8000, Pusat Panggilan 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my atau aplikasi Ez ADU KPDN.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here