KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menyiasat 10 aduan rasmi berhubung isu tular petrol RON95 yang didakwa bercampur air sehingga menyebabkan kerosakan kenderaan pengguna di beberapa kawasan di negeri itu.
Pengarah KPDN Selangor Muhamad Hanif Asa’ari berkata siasatan lapangan dan tindakan penguatkuasaan di tujuh premis stesen minyak yang dijalankan semalam itu susulan aduan orang awam termasuk menerusi media sosial.
“Hasil di lapangan, sebanyak 27 tin sampel petrol RON95 telah diambil dan disita daripada pam pengisian yang terjejas untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi analisis makmal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati kesemua premis berkenaan memiliki Lesen Kebenaran Khas (CSA) dan lesen di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) yang masih sah.
Bagaimanapun, Muhamad Hanif berkata notis di bawah Seksyen 32 Akta Perihal Dagangan 2011 telah dikeluarkan bagi menghendaki pemilik stesen minyak mengemukakan maklumat dan dokumen berkaitan perniagaan untuk membantu siasatan.
“Siasatan dijalankan berhubung kemungkinan berlaku pelanggaran Seksyen 5(1)(c), dibaca bersama Seksyen 6(1)(d) dan Seksyen 7 Akta Perihal Dagangan 2011, berkaitan dakwaan perihal dagangan palsu berhubung kandungan petrol yang dibekalkan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan semua syarikat dan pengusaha stesen minyak supaya memastikan tangki simpanan bawah tanah diselenggara secara berkala serta mematuhi standard keselamatan dan kualiti yang ditetapkan.
“Tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan pelanggaran sehingga menjejaskan kepentingan dan keselamatan pengguna,” katanya.
Muhamad Hanif turut menasihati pengguna yang terjejas untuk menyimpan resit rasmi pengisian petrol serta laporan pemeriksaan bengkel sebagai dokumen sokongan bagi tujuan aduan dan membantu siasatan.





