KPDN siasat warga asing ubah nombor pendaftaran kenderaan untuk isi petrol RON95

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Johor sedang menyiasat insiden pasangan dipercayai warga asing mengubah nombor pendaftaran kenderaan Singapura untuk mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di daerah Kulai yang tular ketika ini.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihaknya sudah menerima laporan dan pasukan siasatan sudah digerakkan untuk membuat pemeriksaan dan siasatan.

“Pengadu sudah membuat aduan dalam sistem dan pasukan sudah pun digerakkan bagi tujuan pemeriksaan.

“Sekarang ini kita masih menunggu laporan dan hasil siasatan. Maklumat terkini akan dikemas kini nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

Sebelu mini, tular video berdurasi satu minit 30 saat memaparkan seorang individu yang mengesan perbuatan pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang sedang mengisi petrol RON95.

Pemilik video mendakwa kemungkinan ia taktik baharu warga Singapura untuk mengaburi mata pihak berkuasa apabila menutup huruf pertama dan terakhir nombor pendaftaran kenderaan asing itu supaya kelihatan seperti kenderaan tempatan.

Apabila didekati dan disoal pemilik video, individu berkenaan mendakwa mereka bukan warga Singapura sebaliknya rakyat tempatan, sebelum dilihat cuba meninggalkan lokasi dengan segera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya akan mengambil tindakan saman ke atas pemilik kenderaan jika mendapati nombor pendaftaran kenderaan itu menyalahi peraturan yang ditetapkan.

Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 10.35 malam tadi, namun laporan diterima pada jam 10.05 pagi ini.

“Laporan mengenai kejadian itu sudah dirujuk ke KPDN untuk tindakan lanjut kerana membabitkan minyak subsidi.

“Polis akan mengesan pemilik kenderaan dan jika didapati nombor pendaftaran kenderaan itu menyalahi peraturan ditetapkan, kita akan ambil tindakan saman,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img