INSTITUT Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) diarahkan untuk mempertingkatkan pembangunan varieti padi baharu yang berhasil tinggi dan tahan kemarau susulan kebimbangan terhadap impak fenomena El Nino ke atas pengeluaran bekalan makanan negara kekal mencukupi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, arahan itu diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat berkaitan sekuriti makanan negara semalam.
Beliau berkata, MARDI turut diminta mempergiat usaha penyelidikan, khususnya bagi membangunkan varieti padi yang mampu menghasilkan produktiviti jauh lebih tinggi bagi setiap hektar.
“Bagi memperkukuh pengeluaran padi, kerajaan turut mempergiat aktiviti penyelidikan untuk membangunkan varieti yang lebih sesuai dengan perubahan cuaca dan tahan terhadap kesan iklim.
“MARDI telah mengeluarkan beberapa varieti padi seperti MR333 (Menora), MR297, MR315, MR307, MR284, MRQ76 serta tiga varieti baharu tahan kemarau, iaitu MR380, MR381 dan MR382.
“Dalam Mesyuarat Sekuriti Makanan Negara kelmarin, Perdana Menteri turut minta MARDI mempertingkatkan lagi penyelidikan bagi menghasilkan lebih banyak varieti baharu, khususnya yang mampu meningkatkan hasil pengeluaran atau produktiviti sehektar, mengambil contoh pencapaian tinggi yang direkodkan di China,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad menjawab soalan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) mengenai langkah persediaan kerajaan dalam menghadapi fenomena El Nino yang dijangka memberi kesan kepada sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.
Ia khususnya dari segi bekalan air untuk pengairan, pengeluaran padi, tanaman makanan, penternakan serta langkah memastikan bekalan makanan negara kekal mencukupi.
Mohamad berkata, pihaknya sentiasa bersiap siaga dan berada pada tahap kesediaan yang optimum dalam mendepani impak fenomena iklim El Nino.
“KPKM amat prihatin terhadap risiko ketidaktentuan cuaca yang berupaya menjejaskan hasil pengeluaran agromakanan negara serta mengancam tahap keterjaminan makanan negara.
“Bagi mengurangkan impak gangguan iklim ini, kementerian sudah melaksanakan beberapa langkah persediaan termasuk pembekalan air untuk pengairan menerusi pengurusan aset air strategik.
“Ia melalui penyediaan inventori dan pemantauan paras air empangan dan pusat tadahan air serta memaksimumkan pengoperasian sistem pam bagi meningkatkan kecekapan pengairan.
“Selain itu, kerajaan turut melaksanakan pengurusan sumber air secara bersepadu bagi memastikan penggunaan air yang mampan merentasi sektor serta memperluas penggunaan Sistem Pemantauan Pengairan Pintar (Smart Irrigation Monitoring System) dan Sistem Pengairan Titis (TITIS) bagi mengelakkan pembaziran serta menyalurkan air secara mikro mengikut keperluan sebenar tanah,” katanya.
Katanya, kerajaan turut memperkukuh dan memodenkan infrastruktur pengairan melalui projek naik taraf sistem saliran, pembinaan takungan air serta penggunaan teknologi pintar dalam pengurusan air.






