Bekas pelajar cedera mata, otak ketika subjek PJK dapat ganti rugi RM452,809

SEORANG bekas pelajar sekolah menengah di Segamat menerima ganti rugi berjumlah RM452,809 selepas Mahkamah Tinggi Muar mendapati pihak sekolah cuai menyediakan penyeliaan sewajarnya sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan kekal pada mata dan otak.

Muhammad Syakir Irfan Syed Ali, 21, memfailkan saman terhadap pihak sekolah susulan kejadian yang berlaku ketika dia mengikuti kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chaah pada 17 September 2019.

Saman itu difailkan menerusi bapanya, Syed Ali Syed Hussein yang bertindak sebagai wakil litigasi kerana mangsa ketika itu masih bawah umur, menurut laporan The Star.

Dalam kejadian berkenaan, Muhammad Syakir mengalami kecederaan serius termasuk kecederaan tembus pada mata kiri, keretakan tengkorak dan pendarahan akut dalam otak.

Kecederaan itu menyebabkan mangsa mengalami kecacatan klinikal kekal yang menjejaskan penglihatan serta fungsi neurologinya.

Defendan yang dinamakan dalam saman itu ialah guru aktiviti sekolah, Nur Badruzzanan Mohamad; pengetua sekolah, Maziah Mohammad; Ketua Pengarah Pendidikan serta Kerajaan Malaysia.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika kelas PJK antara jam 8.30 pagi hingga 9.30 pagi.

Ketika itu, guru bertugas bersama seorang lagi guru mengawasi pelajar selepas mengasingkan mereka mengikut jantina sebelum menjalankan aktiviti frisbee.

Selepas aktiviti berkenaan selesai, Muhammad Syakir mengambil raket badminton milik sekolah untuk bermain secara santai bersama seorang rakan sekelas.

Bagaimanapun, batang besi raket itu tiba-tiba tercabut daripada pemegangnya sebelum terkena mata kiri mangsa sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Kalyana Kumar kemudian memutuskan semua tuntutan memihak kepada plaintif dengan liabiliti ditetapkan 100 peratus ke atas defendan.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah meneliti keterangan serta bukti yang dikemukakan dalam kes berkenaan.

Mahkamah mendapati defendan gagal menyediakan penyeliaan mencukupi, munasabah dan berkesan sepanjang aktiviti berlangsung.

Ia berikutan pelajar ketika itu berada di bawah jagaan, kawalan dan tanggungjawab operasi guru yang bertugas.

Mahkamah turut menganugerahkan plaintif ganti rugi am RM400,000, ganti rugi khas RM12,809 serta kos guaman RM40,000.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img