Langkah penjimatan perbelanjaan bukan bertujuan hentikan perjalanan rasmi – MOF

KEMENTERIAN  Kewangan (MOF) menjelaskan bahawa peningkatan mendadak harga minyak mentah dunia telah menyebabkan perbelanjaan subsidi negara meningkat dengan ketara.

Sehubungan itu kementerian tersebut menjelaskan, langkah penjimatan perbelanjaan yang sedang dilaksanakan bukan bertujuan menghentikan semua perjalanan rasmi atau perbelanjaan kerajaan, sebaliknya merupakan pendekatan pengurusan fiskal bersasar bagi menampung peningkatan kos subsidi susulan kenaikan harga minyak dunia akibat krisis di Asia Barat.

MOF dalam kenyataan berkata, bagi melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga bahan api dan kos sara hidup, kerajaan memilih untuk terus menyerap beban subsidi yang lebih tinggi dengan memperkenalkan langkah penjimatan perbelanjaan.

“Bagi membantu membiayai sebahagian daripada kos subsidi tambahan ini, MOF telah mengeluarkan garis panduan penjimatan perbelanjaan kerajaan.

“Antara langkah yang dilaksanakan ialah mengehadkan perjalanan rasmi ke luar negara hanya kepada komitmen yang telah dijadualkan, mesyuarat yang diwajibkan serta urusan yang benar-benar penting dan memberikan impak strategik kepada negara,” menurut kenyataan itu.

MOF mengeluarkan kenyataan berkenaan bagi menjawab laporan sebuah portal yang mempersoalkan lawatan rasmi ke luar negara ketika langkah penjimatan perbelanjaan sedang dilaksanakan.

Menurut kenyataan itu, langkah penjimatan dilaksanakan tanpa menjejaskan perkhidmatan kritikal kepada rakyat, khususnya dalam sektor kesihatan dan pendidikan.

“Walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) turut tertakluk pada langkah penjimatan seperti mengehadkan perjalanan rasmi ke luar negara, tiada sebarang sekatan dikenakan terhadap perancangan pengisian jawatan, pembelian ubat-ubatan, perolehan peralatan perubatan mahupun penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

“Malah, dalam menghadapi ketidaktentuan rantaian bekalan global, KKM bersama-sama Majlis Tindakan Ekonomi Negara telah melaksanakan audit pantas bagi memastikan bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan kritikal sentiasa mencukupi serta sebarang risiko gangguan dapat dikenal pasti lebih awal,” menurut kenyataan itu.

Bagi tahun ini, KKM menyasarkan pelantikan lebih 18,000 petugas kesihatan merangkumi 4,500 pegawai perubatan, lebih 3,500 jururawat dan hampir 1,000 penolong pegawai perubatan, selaras dengan perancangan asal tanpa sebarang pengurangan berbanding tahun lepas.

Selain itu, peruntukan ubat-ubatan juga terus dipertingkatkan kepada RM6.5 bilion pada tahun ini berbanding RM6.0 bilion pada tahun lepas.

“Hal ini membuktikan bahawa langkah penjimatan tidak menjejaskan keutamaan kerajaan untuk memastikan rakyat terus menerima perkhidmatan kesihatan yang berkualiti,” menurut kenyataan itu.

MOF turut memaklumkan terdapat lawatan rasmi yang tidak boleh ditangguhkan kerana melibatkan kepentingan strategik negara, terutama ketika keadaan dunia masih berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik dan gangguan bekalan global.

Menurut kenyataan itu, lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkmenistan dan Rusia baru-baru ini telah membuahkan hasil dalam memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga negara serta mempelbagaikan sumber bekalan tenaga jangka panjang Malaysia ketika pasaran global masih tidak menentu.

“Begitu juga penyertaan Malaysia dalam pelbagai mesyuarat dan forum antarabangsa berkaitan perdagangan, tenaga, kesihatan, pertahanan dan kerjasama serantau yang penting untuk mempertahankan kepentingan negara, memperkukuh hubungan dengan rakan strategik serta memastikan Malaysia terus mempunyai akses kepada bekalan, pelaburan dan peluang ekonomi.

“Oleh itu, lawatan rasmi tidak wajar dinilai berdasarkan jumlah perjalanan semata-mata, sebaliknya berdasarkan tujuan, keperluan dan hasil yang dicapai untuk negara dan rakyat,” menurut MOF.

Kerajaan MADANI, dalam pada itu, kekal komited mengurus kewangan negara secara berhemat, dengan perbelanjaan yang boleh dikawal diperketat, manakala sektor kritikal seperti kesihatan, pendidikan, subsidi dan bantuan rakyat terus dipelihara.

“Pendekatan ini memastikan setiap ringgit digunakan secara optimum bagi menghadapi cabaran global, sambil melindungi kebajikan rakyat dan kestabilan ekonomi negara,” menurut kenyataan itu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img