Lebih 10,000 PATI dihantar pulang dari Sabah

SERAMAI 10,006 pendatang tanpa izin (PATI) dihantar pulang ke negara asal masing-masing menerusi Program Pemindahan Tahanan Asing yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah setakat ini.

Warga Filipina mencatat jumlah tertinggi iaitu 7,670 orang, diikuti Indonesia (1,960), China (156), Pakistan (153), Vietnam (30) dan negara lain (37).

JIM Sabah dalam kenyataan memaklumkan operasi penghantaran pulang terbaharu dilaksanakan semalam membabitkan 755 warga Filipina dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Sandakan.

Mereka dihantar melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina menggunakan kapal MV Antonia 1.

Daripada jumlah itu, seramai 669 adalah lelaki, 63 wanita, 14 kanak-kanak lelaki dan sembilan kanak-kanak perempuan berusia antara enam bulan hingga 69 tahun.

“Kanak-kanak yang dihantar pulang itu diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, 10 warga Pakistan serta masing-masing seorang warga India dan Vietnam turut dihantar pulang semalam dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Papar menerusi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum meneruskan perjalanan ke negara asal.

Menurut JIM Sabah, kesemua PATI berkenaan sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki dokumen perjalanan bagi urusan penghantaran pulang.

Dalam pada itu, JIM Sabah berharap kerjasama Kedutaan Filipina dapat mempercepat pengeluaran dokumen perjalanan bagi membolehkan proses penghantaran pulang rakyat negara itu dilaksanakan segera, sekali gus mengurangkan kesesakan di depot imigresen.

Majikan turut disaran menyertai program pendataan digital warga asing yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi mengurus dan merekod keberadaan pekerja asing di Sabah, khususnya dalam sektor perladangan.

“Inisiatif ini dijangka dapat mengekang isu dokumentasi dan lambakan pendatang tanpa izin di Sabah,” menurut kenyataan itu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here