SEORANG lelaki cedera selepas Toyota Hilux dipandunya melawan arus sebelum terbabit dalam kemalangan di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 2.47 pagi itu turut menyaksikan sekumpulan penunggang motosikal mengejar kenderaan terbabit sebelum beberapa individu dipercayai memukulnya menggunakan topi keledar.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Superintendan Suffian Abdullah berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia 33 tahun itu memandu melawan arus dari arah Jalan Sultan Ismail menghala ke Jalan 1/64D.
Menurutnya, berdasarkan keterangan awal, pemandu dipercayai panik dan hilang kawalan ketika cuba melarikan diri.
“Kenderaannya melanggar sebuah motosikal sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.
“Pemandu turut mengalami lebam pada muka, badan dan tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ujian saringan alkohol terhadap pemandu menggunakan alat SD2+ mencatatkan bacaan sifar miligram bagi setiap 100 mililiter darah, manakala ujian saringan air kencing juga menunjukkan keputusan negatif.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.





