Lelaki curi tabung masjid dipenjara 69 bulan

SEORANG lelaki yang menjadikan tabung masjid dan surau sebagai sasaran kegiatan jenayah sejak lima tahun lalu menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 69 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, semalam.

Tertuduh, Mu’ammar Raid Abdul Malik, 37, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap sembilan pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 18 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, Mu’ammar Raid didakwa melakukan empat kesalahan mencuri wang tunai dan wang tabung di beberapa rumah ibadat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Antara kesalahan itu ialah mencuri RM3,000 milik Madrasah Al Jariah Kampungku Sayang pada jam 2.30 pagi, 25 November 2025, selain mencuri wang tabung di Surau Kampung Pengkalan Lanjut, Tanjung Kling pada jam 4.45 pagi, 30 Mac 2026 dan Surau Al Karim, Kampung Gedong Lalang pada jam 6.38 petang, 31 Mac lalu.

Tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan cuba mencuri wang tabung Masjid As-Syakirin, Pasir Puteh, Bachang pada jam 11.10 malam, 16 Ogos 2021 mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama.

Selain itu, dia turut didakwa atas dua pertuduhan melakukan pencerobohan jenayah mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana memasuki kawasan Masjid As-Syakirin, Pasir Puteh tanpa kebenaran pada tarikh sama serta memasuki Surau Al Mustaqim, Batu Berendam pada jam 3.22 pagi, 29 November 2025.

Bagi pertuduhan ketujuh, tertuduh didakwa memecah masuk Surau An-Naim, Klebang Besar bagi tujuan mencuri pada jam 4.30 pagi, 28 November 2025 mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Dia juga mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana gagal mengemukakan kad pengenalan apabila diminta polis pada 16 Ogos 2021 dan 18 Julai 2026.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img