SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Keningau hari ini atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya dalam kejadian di Tambunan, awal bulan ini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Elekson Langak, 31, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Flavian Edward Henry.
Tertuduh didakwa membunuh ibunya, 56, kira-kira jam 2 petang pada 11 September lalu di sebuah rumah sewa di Kampung Katagayan, Tambunan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, jika sabit kesalahan.
Jika tidak dihukum mati, tertuduh juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, lapor Sinar Harian.
Mahkamah menetapkan 29 Oktober depan untuk sebutan semula kes, manakala tiada jaminan diberikan kepada tertuduh sementara menunggu kes selesai.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Daniel Dominic.





