MENTERI Besar Negeri Sembila Datuk Ismail Lasim hari ii meminta arahan yang menghalang Exco Kerajaan Negeri memasuki pejabat masing-masing di Wisma Negeri, di Seremban dinilai semula dengan segera.
Katanya, beliau dimaklumkan terdapat perintah larangan atau arahan yang menyebabkan exco berkenaan tidak boleh memasuki pejabat mereka sejak semalam.
“Saya dimaklumkan ada perintah larangan atau arahan exco dihalang masuk pejabat masing-masing. Saya difahamkan bukan setakat tidak boleh memasuki pejabat exco di Wisma Negeri, tetapi tidak boleh menjalankan tugas-tugas sebagai exco,” katanya pada sidang media di Seremban.
Ismail berkata, beliau memohon pihak berkuasa terlibat menilai semula arahan itu dengan mengambil kira bahawa pertikaian berhubung perkara berkenaan masih belum dimuktamadkan.
Katanya, tindakan berkenaan juga perlu mengambil kira keperluan memastikan urusan rakyat serta pentadbiran negeri tidak terganggu.
Beliau berkata, permohonan itu dibuat menerusi saluran yang tertib dan tidak bertujuan menghalang pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab mereka berkaitan aspek keselamatan.
Ismail turut menyeru semua pihak memberi ruang kepada kerajaan negeri dan proses perundangan untuk berjalan.
Pada Ahad lalu, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan Exco kerajaan negeri itu berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua Exco terbabit memungkiri sumpah jawatan mereka.
Sehubungan dengan itu katanya, Menteri Besar hendaklah mempersembahkan senarai calon Exco yang baharu untuk pertimbangan dan perkenan Duli Yang Maha Mulia menurut Perkara XXXVIII(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Susulan itu, Ismail dalam kenyataannya berkata, tidak ada keperluan mengemukakan senarai Exco yang baru kerana Exco yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa.





