SEORANG pencuci kereta dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemandu lori dalam kemalangan di Jalan Kuching, 4 November lalu.
Mohamad Imran Taj Maloor, 32, membuat penampilan di Mahkamah Majistret 9 di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu tertuduh bersama seorang penumpang lelaki berusia 46 tahun melanggar bahagian sisi kanan belakang lori berkenaan.
“Akibat perlanggaran itu, lori terbabas ke bahu kiri jalan manakala pemandunya, lelaki warga Indonesia berusia 39 tahun, mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kejadian kira-kira jam 4.44 pagi itu berlaku di Jalan Kuching menghala ke Bulatan Segambut.
Menurutnya, ujian hembusan nafas EBA II merekodkan bacaan 61 miligram bagi setiap 100 mililiter (mg/100ml) terhadap tertuduh, manakala penumpangnya mencatatkan bacaan 67 mg/100ml.
Katanya, kes berkenaan pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum tertuduh dihadapkan ke mahkamah hari ini atas pertuduhan membunuh.
Mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 28 Januari 2027 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vivi Asnita Zaina’Larifin.




