SEORANG lelaki ditahan akibat menjual bunga api dan mercun selepas lesen tamat tempoh, dalam operasi serbuan di dua lokasi di Kuala Muda, Sungai Petani, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, lesen jualan sempena perayaan Tahun Baharu Cina bagi bunga api dan mercun sudah tamat pada 21 Februari lalu.
Namun, katanya, terdapat beberapa peniaga dipercayai mengambil kesempatan dengan masih menjual barang terbabit.
“Dalam operasi jam 9 malam, polis menyerbu gerai di Taman Ria Jaya dan Taman Cengal Indah.
“Di Taman Ria Jaya, gerai sudah ditutup tetapi polis menemui pelbagai jenis bunga api dan mercun yang dipercayai dijual tanpa lesen lalu merampasnya.
“Manakala di Taman Cengal Indah, gerai masih beroperasi dan seorang lelaki berusia 30-an ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Hanyan berkata, kesemua barangan rampasan bunga api dan mercun itu dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.


