PENGASAS dan Presiden AUF MBZ, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan menjalankan berniaga sekuriti tanpa lesen sah.
Mahadi, 43, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibaca secara berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Norma Ismail.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, suami kepada penyanyi dan aktivis, Datin Seri Heliza Helmi itu didakwa sebagai wakil syarikat AUF MBZ Consortium PLT menjalankan perniagaan dalam sekuriti sedangkan syarikat itu bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar sebagai perniagaan sekuriti.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Bayrocks Garden Waterfront Villa, Sunway South Quay, Subang Jaya antara 14 Jun 2021 hingga 15 Februari 2024, lapor BH.
Kesalahan adalah mengikut subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dibaca bersama subseksyen 367(1) Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah subseksyen 58(4) Akta yang sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, peguam Datuk Mohd Zamri Mohd Idrus yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dibebaskan dengan jaminan kerana khuatir janggutnya akan dipotong dalam tahanan.
Mohd Zamri dalam hujahan ketika memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan, memberitahu mahkamah jika jaminan tidak dibenarkan dan Mahadi dipenjarakan, janggut panjangnya berkemungkinan akan dipotong.
“Ini akan memberi kesan kepadanya,” katanya.
Mohd Zamri berkata, anak guamnya yang membantu pihak mengendalikan jemaah umrah, memberikan kerjasama sepanjang siasatan dan bukan individu yang berisiko untuk melarikan diri.
Beliau berkata, Mahadi turut menanggung ibunya yang menghidap kanser dan tahap kesihatannya tidak menentu, selain menanggung keluarga mentuanya.
Bagaimanapun Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti (SC), Danial Imran Nasaruddin memohon mahkamah menimbangkan kepentingan awam serta keyakinan pelabur dalam pasaran sekuriti sebelum membenarkan jaminan terhadap tertuduh.
Beliau berkata, pendakwaan mencadangkan mahkamah mengenakan jumlah jaminan sebanyak RM250,000 dengan dua penjamin dan memerintahkan pasport diserah kepada mahkamah serta tertuduh dikehendaki melapor diri di pejabat SC sebulan sekali.
Kedua-dua mahkamah kemudian membenarkan Mahadi dijamin masing-masing sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan semua syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.


