Kencing tikus: Taman Rekreasi Ulu Bendul Kuala Pilah ditutup sehingga 17 Mei

TAMAN Rekreasi Ulu Bendul di Kuala Pilah, Negeri Sembilan ditutup sementara mulai Ahad lalu sehingga 17 Mei depan selepas Unit Kawalan Penyakit Berjangkit Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) menerima tiga notifikasi kes dipercayai berkaitan leptospirosis atau kencing tikus sejak Sabtu lalu.

PKD melalui kenyataan berkata, verifikasi kes dijalankan hari sama dan mendapati semua mempunyai sejarah ke lokasi berisiko jangkitan leptospirosis di taman rekreasi itu.

“Hasil siasatan mendapati kes melibatkan satu keluarga. Siasatan awal menunjukkan semua kes melakukan aktiviti air di Taman Rekreasi Ulu Bendul, Kuala Pilah pada 1 Mei 2026.

“Jumlah ahli keluarga terdedah lima orang (semua mandi di Taman Rekreasi Ulu Bendul) berusia antara empat hingga 10 tahun dengan kadar serangan sekitar 60 peratus,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, kes mula mandi antara jam 10 pagi hingga 4 petang (tempoh masa 6 jam) di kawasan sungai semula jadi.

Katanya, keadaan di kawasan rekreasi sesak dengan pengunjung, manakala sumber makanan dan minuman dibawa sendiri.

“Mereka mengalami gejala demam, menggigil, sakit sendi, sakit abdomen, loya, muntah dan cirit-birit. Mangsa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kuarters KLIA pada 8 Mei 2026.

“Sumber air atau tanah disyaki tercemar di lokasi rekreasi berpotensi sebagai punca jangkitan, namun semua pesakit diberikan antibiotik dan dipantau di klinik pesakit luar,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan penilaian risiko dijalankan Unit Kawalan Penyakit Berjangkit PKD Kuala Pilah melibatkan kawasan seliaan Jabatan Perhutanan dan Majlis Daerah Kuala Pilah di Hutan Rekreasi Ulu Bendul pada 16 April 2026.

Hasilnya mendapati Taman Rekreasi Ulu Bendul memperoleh markah 32.7 peratus di mana risiko adalah rendah.

Katanya, aktiviti pensampelan tanah dan air juga telah dijalankan dan analisa makmal mendapati satu sampel tanah di kawasan Taman Rekreasi Ulu Bendul disahkan positif kehadiran bakteria patogenik leptospira.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img