SEORANG lelaki ditahan selepas ldisyaki melakukan amang seksual fizikal dan merogol adik kandungnya sejak mangsa berusia 10 tahun.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, suspek berusia 24 tahun ditahan susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa hari ini.
Beliau berkata, kejadian terbaru didakwa berlaku Ahad lalu kira-kira jam 9 malam apabila mangsa yang kini berumur 16 tahun dicabul oleh suspek ketika berada di rumah.
“Mangsa mendedahkan bahawa dia sebenarnya telah menjadi mangsa rogol suspek sejak enam tahun lalu,” katanya lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan.
“Kes ini turut disiasat di bawah Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat,” katanya.
Beliau berkata, pihak polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.






