Lelaki ditemui cedera parah di tepi jalan, empat suspek ditahan

POLIS menahan empat suspek berikutan penemuan seorang lelaki tempatan dalam keadaan cedera parah di tepi jalan Taman West Country, di Kajang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa dipercayai cedera parah akibat serangan menggunakan senjata tajam oleh beberapa individu yang dikenalinya.

“Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang menjalankan gerakan mengesan suspek dan berjaya menahan empat suspek lelaki warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30-an di sekitar daerah ini malam semalam dan awal pagi tadi.

“Mangsa berusia 26 tahun dikejarkan ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan parah dipercayai berpunca daripada serangan menggunakan senjata tajam oleh beberapa individu yang dikenali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek didapati mempunyai rekod jenayah dan dadah, serta direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.

​Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada suspek terbabit negatif dadah, manakala seorang positif metamfetamin.

“Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan membawa senjata atau sesuatu yang boleh digunakan sebagai senjata.

“Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki memasukkan dadah ke dalam tubuh badan,” katanya.

Naazron berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan mengesan individu lain yang mungkin mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

Maklumat berkaitan kes boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Sharulhasram Ramli di talian 016-2530380 atau mana-mana balai polis berhampiran.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here