DUA beranak ditemui lemas berhampiran sebuah tapak perkhemahan di Kampung Punggai, Pengerang, Johor, semalam.
Mohammad Nizam Zainal, 33, dan anaknya, Muhammad Zamri Mikhail, 8, meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik kesihatan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Punggai, Aldron Dey Judih@Judeh, berkata enam anggota dibantu sebuah jentera dan pacuan empat roda Hilux bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 7.10 malam Ahad.
“Sejurus tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati dua mangsa lemas, iaitu seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Kedua-dua mangsa dibawa ke darat oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba,” katanya lapor Harian Metro.
Beliau berkata, bantuan pernafasan kecemasan segera diberikan kepada dua beranak itu sebelum mereka dihantar ke Klinik Kesihatan Bayu Damai untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Tetapi, jelasnya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas.





