Pengawal keselamatan mengaku bersalah 13 pertuduhan seksual terhadap anak tujuh tahun

SEORANG pengawal keselamatan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas 13 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal serta persetubuhan luar tabii, membuat video penganiayaan seksual dan merogol terhadap anak perempuannya yang berusia tujuh tahun.

Lelaki berusia 43 tahun itu membuat pengakuan terbabit selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee, lapor Harian Metro.

Bagi empat pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tidak sah taraf dengan kekasihnya itu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang bertugas di sebuah sekolah didakwa bagi empat pertuduhan lain iaitu melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara melakukan hubungan seksual di hadapan kanak-kanak perempuan itu dan dia didakwa mengikut Seksyen 15(c) AKSTK 2017.

Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga didenda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tertuduh turut didakwa bagi dua pertuduhan dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap kanak-kanak itu dengan cara meliwat mangsa tanpa kerelaannya.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Untuk dua lagi pertuduhan, lelaki itu didakwa membuat bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dalam bentuk video ke atas mangsa dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 5 AKSTK 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ke-13, lelaki itu didakwa merogol mangsa sama yang mana perhubungan mereka tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebat tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah setinggan dekat Kempas di sini, antara jam 11.35 malam, 22 Januari lalu hingga waktu pagi, 17 Februari lalu.

Pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin dan S Manushri tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan pertuduhan dihadapi tertuduh tidak boleh dijamin.

Mahkamah menetapkan Rabu ini untuk sebutan semula bagi fakta serta hukuman dan tiada sebarang jaminan dibenarkan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam itu.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, kekasih kepada tertuduh sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap mangsa kanak-kanak berkenaan didakwa mendedahkan mangsa sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Bagi perbuatan yang dilakukan di lokasi sama sekitar bulan lalu itu, tertuduh wanita berkenaan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan berdepan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh berusia 46 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan lapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian sebulan sekali.

Mahkamah turut menetapkan 2 April depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afdhallan Syafiq Azmy dan tertuduh tidak diwakili peguam.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img