MISTERI kehilangan seorang lelaki sejak tiga hari lalu terjawab apabila mayatnya ditemukan terapung di Sungai Kelantan di Kampung Atas Pinggir Tendong, Pasir Mas, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, polis menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 daripada orang awam pada jam 3.40 petang yang memaklumkan penemuan mayat seorang lelaki.
Katanya, sepasukan anggota polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pasir Mas segera ke lokasi kejadian dan berjaya menaikkan mayat mangsa ke darat dengan bantuan penduduk setempat.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang masih bujang.
”Mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak Khamis lalu namun tiada laporan polis dibuat oleh keluarga sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mazlan berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk proses bedah siasat dan pengecaman telah dilakukan oleh ahli keluarga.
Buat masa ini, kata beliau, polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian mengejut (SDR).
Beliau meminta orang ramai agar sentiasa peka terhadap aspek keselamatan diri bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Pihak polis juga menasihatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang andaian atau spekulasi berhubung kejadian ini bagi menghormati privasi keluarga mangsa.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di talian 09-793 2222.


