Lelaki Thailand ditahan selepas guna pangkalan haram beli barang isteri

TINDAKAN seorang lelaki warga Thailand berpatah balik ke negara asal menggunakan pangkalan haram semata-mata untuk membeli barangan buat isterinya mengundang padah apabila dia ditahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, lelaki berusia 30 tahun berkenaan dikesan menaiki bot dari tebing Thailand sebelum mendarat di pangkalan haram Azizah.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota Task Force Batalion 9 PGA Kuala Terengganu yang menjalankan rondaan mengesan suspek memasuki Malaysia melalui laluan tidak sah.

Menurutnya, pemeriksaan badan tidak menemui sebarang barangan menyalahi undang-undang, namun semakan terhadap pasport suspek mendapati dokumen perjalanan itu mempunyai cop kemasukan yang sah ke Malaysia melalui Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang pada hari sama.

“Hasil soal siasat mendapati lelaki itu telah memasuki Malaysia melalui ICQS Rantau Panjang sebelum berpatah balik ke Thailand.

“Dia mendakwa pulang ke sana bagi membeli beberapa barangan untuk diberikan kepada isterinya sebelum kembali semula ke Malaysia melalui pangkalan haram,” katanya.

Ahmad Radzi berkata, siasatan turut mendapati suspek bekerja di sebuah kedai makan di Gambang, Kuantan sejak hampir dua tahun lalu dan memasuki Malaysia untuk tujuan bekerja.

Beliau berkata, lelaki warga Thailand itu kemudian ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

“Suspek telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

“PGA akan terus mempergiat rondaan dan pemantauan bagi mengekang kegiatan rentas sempadan secara haram serta membanteras sebarang aktiviti jenayah di kawasan sempadan negara,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img