Lemas Kajang: ‘Arwah seorang anak yang baik’ – bapa

SEORANG bapa tidak menyangka kenangan membawa anaknya ke sesi pemilihan bola sepak tempoh hari menjadi memori terakhir sebelum kanak-kanak itu ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras di Taman Prima Saujana, Kajang, Selangor semalam.

Khairul Ikram Baharin, 47, memberitahu, arwah anaknya, Kayyum Shaqeel, 12, merupakan seorang anak yang baik dan sangat meminati bola sepak sehingga sanggup bermain setiap hari tanpa mengira keadaan cuaca.

“Arwah seorang anak yang baik. Dia memang mempunyai minat yang mendalam terhadap sukan bola sepak sehingga bermain setiap hari tanpa mengira keadaan cuaca,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam (Baru) Sungai Kantan di Kajang, hari ini.

Menurutnya, pemergian arwah memberi kesan yang amat mendalam kerana kedua-dua anak lelakinya mempunyai minat sama dan sentiasa rapat antara satu sama lain.

“Abangnya pun minat bola. Dua beradik ini sangat rapat. Bila kedua-duanya pergi, saya rasa amat sedih,” ujarnya.

Khairul Ikram turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir memberikan sokongan moral serta ucapan takziah buat keluarganya.

Khairul Ikram Baharin

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan, penduduk sekitar yang kenal mahupun tidak kerana hadir memberi semangat. Hanya Allah sahaja dapat membalas kebaikan semua yang membantu,” katanya.

Jenazah Allahyarham Kayyum Shaqeel disempurnakan di Masjid Prima Saujana sebelum dikebumikan kira-kira jam 3 petang di Tanah Perkuburan Islam (Baru) Sungai Kantan dengan anggaran 700 orang hadir memberi penghormatan terakhir.

Allahyarham Kayyum Shaqeel dan abangnya, Khalish Shahdan, 14, dikhuatiri lemas selepas terjatuh sebelum dihanyutkan arus deras ketika cuba mengambil bola di dalam longkang besar di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana di Kajang petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jarak kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

Ketika ini, gerakan mencari dan menyelamat Khalish Shahdan masih diteruskan oleh pasukan penyelamat.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img