Liga Sepak Takraw Kelab Asia ASTAF mungkin contohi Liga Juara-Juara Liga AFC

BAYANGKAN sekiranya Liga Sepak Takraw Kelab-kelab Asia (ACSL) dipersembahkan mirip Liga Juara-juara AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) kepada para peminatnya?

ACSL dijangka bermula pada 2026 atau 2027 ini, pasti tampil lebih unik malah mampu meluaskan kadar tontonan umum khasnya di Asia sekali gus beransur-ansur menghampiri populariti yang sehebat bola sepak!

Seperti mana ACL Elit dan ACL Dua berformat timbal balik serta mengikut zon geografi, bukan juga satu ilusi mahupun mustahil jika ACSL pula menampilkan dua divisyen bagi negara handalan dan yang baru membangun sepak takraw.

Inilah unjuran atau wawasan besar yang didukungi Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader hasil pertemuan dengan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John di Rumah AFC, Bukit Jalil semalam.

“Dalam pertemuan sejam itu, Windsor memberikan sokongan dan nasihat  berhubung format pertandingan, pemilihan kelab, pelesenan, pendaftaran pemain dan strategi menarik penaja-penaja selain penyepaduan sains sukan dan teknologi sukan.

”Sesi ini turut meliputi Buku Panduan Operasi, struktur pertandingan yang lebih mantap dan menarik, tatakelola dan amalan terbaik dalam pengurusan sukan,” kata Abdul Halim.

ASTAF telah mendapat perspektif segar dan wawasan strategik dalam memperkasa pergerakan kami seterusnya memartabatkan sukan sepak takraw di pentas global, tambahnya yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).

“Kami berbesar hati dengan kesudian AFC menerima kunjungan ini sekalipun Windsor baru tiba di tanah air dari Hong Kong, selepas menghadiri Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia.

“Alasan ASTAF memilih untuk merujuk dan mendapatkan panduan AFC ialah mereka telah diiktiraf sebagai sebuah model tatakelola bertaraf dunia dan organisasi yang mencapai kecemerlangan sukan.

“Justeru ASTAF bertekad untuk mengamalkan strategi sama dalam memacu perkembangan, profesionalisme dan pengiktirafan antarabangsa bagi sepak takraw,” katanya.

Peranan penting AFC itu menurut Halim, membolehkan:

ASTAF: i- Berkongsi kepakaran dalam tatakelola yang telus dan berkesan;

ii- Beroleh nasihat mengenai format pertandingan dan struktur liga, termasuk ACSL;

iii- Menyokong penjanaan modal bagi para pegawai, pengadil dan pentadbir;

iv- Memandu strategi iklan dan penajaan;

v- Memperluas rangkaian dan perkongsian antarabangsa.

“Kami akan menyusuli pertemuan ini pada masa depan dengan membawa kumpulan khas pengkaji teknikal ASTAF ke arah mengeratkan kerjasama. Menerusinya, ASTAF dan ISTAF turut berharap untuk terus maju dalam menyegerakan perjalanan yang berwawasan jangka panjang – memasuki Sukan Olimpik,” kata Halim.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img