Lima PATI lolos Depot Imigresen Tanah Merah ditahan semula

SERAMAI lima pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah pada 23 Ogos lalu berjaya ditahan semula setakat ini.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, usaha mengesan baki lima tahanan yang masih lolos terus dipergiatkan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Kami turut meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya terserempak atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan baki tahanan yang belum ditahan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, hebahan mengenai tahanan yang masih lolos turut dibuat menerusi laman Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah.

Media sebelum ini melaporkan polis Kelantan sedang mengesan 10 PATI yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah kira-kira jam 3 pagi pada 23 Ogos lalu.

Mereka membabitkan tujuh warga Thailand serta masing-masing seorang warga Indonesia, Bangladesh dan Rohingya.

Semua PATI dipercayai memakai pakaian hijau terang, iaitu baju Depot Imigresen, dan dilaporkan berkepala botak.

Lokasi terakhir mereka dikesan adalah di Bukit Tebu, Tanah Merah.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan baki tahanan yang masih lolos diminta menghubungi IPD Tanah Merah di talian 09-9556222 atau Balai Polis Tanah Merah di 09-9556223.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here