LIMA remaja lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam perbuatan vandalisme di sebuah pondok ibadat di Sinundu Miracle Hill, Kampung Duvanson, Putatan dekat Penampang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, semua suspek berusia antara 13 hingga 16 tahun itu ditahan semalam susulan siasatan selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Menurutnya, siasatan mendapati perbuatan itu berpunca daripada vandalisme semata-mata dan tiada kaitan dengan unsur menghina atau menjatuhkan mana-mana agama seperti yang ditularkan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kerosakan harta benda dan Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sammy berkata, polis memandang serius sebarang perbuatan khianat membabitkan rumah atau tempat ibadat kerana boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam.
Beliau berkata, siasatan dijalankan secara telus, profesional serta mengikut peruntukan undang-undang bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak bertanggungjawab.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan semula gambar serta video kejadian sehingga boleh mengganggu siasatan atau mencetuskan keresahan awam.
“Polis turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat sehingga kes ini berjaya diselesaikan dalam tempoh singkat,” katanya.
Terdahulu, polis membuka kertas siasatan selepas menerima laporan mengenai sebuah pondok doa di Sinundu Miracle Hill, Kampung Duvanson, Putatan, yang ditemui dalam keadaan berselerak.
Pemeriksaan di lokasi mendapati beberapa barangan di dalam pondok doa berkenaan dipercayai dirosakkan individu tidak dikenali sebelum siasatan membawa kepada penahanan lima remaja terbabit.






