MARKAS Komando Utama Iran (Khatam Al Anbiay0 memberi amaran bahawa mana-mana lokasi yang menjadi titik permulaan serangan terhadap Iran akan dianggap sebagai sasaran sah dan akan menerima tindak balas yang berat.
Menurut laporan Tasnim News Agency, jurucakap markas tersebut berkata pihak musuh mungkin cuba memasuki rantau itu melalui laut, namun mereka berisiko “berakhir di dasar Teluk Parsi.”
Beliau menegaskan bahawa Republik Islam Iran sentiasa menghormati kepentingan serta kedaulatan negara-negara jiran dan setakat ini tidak pernah melakukan sebarang pencerobohan terhadap mereka.
Namun begitu, beliau memberi amaran bahawa sebarang lokasi yang menjadi punca serangan terhadap Iran akan dianggap sebagai sasaran yang sah, dan Iran tidak akan berundur dalam menghadapi Amerika Syarikat serta rejim Zionis Israel.
Jurucakap itu turut menjelaskan bahawa negara-negara yang tidak memberikan ruang atau kemudahan kepada Amerika Syarikat dan Israel tidak menjadi sasaran Iran setakat ini, dan juga tidak akan menjadi sasaran pada masa hadapan.
‘’Bagaimanapun, semua pangkalan yang menjadi titik permulaan serangan terhadap Iran akan terus diserang dengan kuat di darat, laut dan udara,’’ kata jurucakap tersebut.
Beliau menambah, Iran secara terbuka mengakui telah menyerang dan memusnahkan beberapa sasaran sebelum ini sebagai pengajaran kepada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan pencerobohan terhadap rakyat Iran.
Selain itu, beliau memberi amaran bahawa jika pangkalan, kemudahan atau peralatan musuh dibina semula, ia akan dimusnahkan sekali lagi melalui serangan yang lebih kuat.
Jurucakap tersebut juga menyatakan Iran tidak gentar dengan pengiring kapal tangki minyak oleh tentera Amerika Syarikat di laluan strategik Selat Hormuz, malah menyatakan pihaknya “menunggu kehadiran mereka”.
Beliau turut mengingatkan Amerika Syarikat tentang insiden kebakaran supertanker Bridgeton pada tahun 1987 ketika melalui Teluk Parsi, sambil memberi amaran bahawa mana-mana kapal yang memasuki kawasan itu mungkin tidak dapat keluar dengan selamat.


