PM enggan ulas saman Na’imah…akan dijawab di mahkamah

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, enggan mengulas lanjut mengenai tindakan keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang memfailkan saman pemula.

Beliau sebaliknya menegaskan, perkara itu perlu dijawab di mahkamah memandangkan tindakan undang-undang telah diambil.

“Dia bawa ke mahkamah, jadi jawab di mahkamah,” katanya ringkas, lapor Buletin Utama TV3.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Badan Beruniform di Kem Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kulim.

Balu Allahyarham Tun Daim iaitu Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, bersama dua anaknya, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin serta dua peguam keluarga memfailkan saman pemula terhadap Anwar, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sementara itu dalam ucapan beliau, Anwar berkata, Kerajaan akan memastikan negara dapat diselamatkan daripada pengaruh, muslihat dan sebarang konspirasi asing.

Beliau berkata, sehingga kini negara telah berjaya menghentikan ketirisan mencecah RM15.5 bilion, hasil daripada tindakan berkenaan yang sebelum ini hilang tanpa diketahui.

“Malaysia ini tidak boleh kita anggap macam negeri yang lembab dan banyak ketirisan, boleh pakat-pakat, sogok-sogok wang jahanamkan negara, tidak boleh lagi begini. Kalau kita tidak mahu ulang kesilapan ini, mesti kita terus tegas mengambil tindakan.

“Saya katakan (tindakan ini) tidak popular sebab orang yang terkesan bukan orang kecil, ramai yang mempunyai dana besar yang boleh mempengaruhi media antarabangsa, media sosial dan ahli politik dalam pelbagai parti. Ini yang kita saksikan sekarang,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan semua pihak agar berwaspada dan tidak terjebak sehingga menjadi perkakas pihak tidak bertanggungjawab kerana negara harus dipelihara, sekalipun berbeza pendapat.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img