Lelaki cederakan isteri ditahan, miliki 27 rekod jenayah lampau

POLIS menahan seorang lelaki tempatan yang mempunyai 27 rekod jenayah lampau selepas disyaki memukul dan menghiris isterinya menggunakan senjata tajam dalam kejadian di Cheras, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, suspek berusia lingkungan 30-an dan tidak bekerja itu ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di pekarangan IPD Dang Wangi pada jam 4.10 petang, 8 September lalu.

Beliau berkata, kes berkenaan terbongkar selepas polis menerima laporan daripada seorang doktor Hospital Ampang pada jam 2.19 petang, 29 Ogos lepas, berhubung rawatan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 40-an yang disyaki dipukul dan dihiris.

“Mangsa mengalami kecederaan disyaki dipukul dan dihiris oleh suaminya dan mereka berkahwin menerusi perkahwinan adat yang tidak didaftarkan. Wanita itu dimasukkan ke wad ortopedik hospital berkenaan sebelum membuat laporan polis selepas dibenarkan keluar wad pada 4 September,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sazalee memberitahu, semakan mendapati suspek mempunyai 27 rekod jenayah lampau, membabitkan 15 kes jenayah dan 12 kes dadah, manakala ujian saringan awal air kencingnya positif dadah.

Beliau berkata, suspek telah direman selama enam hari hingga 14 September bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama.

Kes ini katanya, disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here