DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, keyakinan pelabur global terhadap Malaysia berada pada tahap yang kukuh hasil daripada komitmen kerajaan terhadap pembaharuan dasar dan kestabilan ekonomi di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dunia.
Perdana Menteri berkata, meskipun konflik di Asia Barat menjejaskan pasaran global dan harga tenaga, Malaysia terus menarik aliran masuk modal yang signifikan, termasuk pembelian bon bernilai lebih AS$2 bilion oleh dana global dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
“Mereka lihat kerajaan mengotakan apa yang dijanjikan. Mereka lihat ekonomi yang mampu bertahan ketika keadaan di sekelilingnya merosot.
“Dan mereka melihat sesuatu yang kita sendiri sebagai rakyat Malaysia jarang katakan: bahawa negara ini menghasilkan barangan yang dunia benar-benar bergantung padanya,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pembukaan pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur hari ini.
DSA dan NATSEC 2026 merupakan pameran pertahanan dan keselamatan dwitahunan yang menghimpunkan pemain industri utama dari seluruh dunia untuk membincangkan teknologi terkini termasuk sistem autonomi dan kecerdasan buatan (AI).
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengajak negara luar untuk menjadi rakan kongsi Malaysia dalam industri pertahanan kerana negara ini mengamalkan dasar berkecuali.
Perdana Menteri berkata, pendirian Malaysia itu sekali gus dapat mengekalkan hubungan negara ini menerusi kerjasama dengan semua rakan utama dalam industri berkenaan.
“Malaysia mengamalkan dasar berkecuali aktif, yang bermaksud kita mengekalkan hubungan kerjasama dengan semua rakan utama.
“Pembekal Malaysia boleh memasuki rantaian bekalan anda tanpa komplikasi politik yang menyukarkan keputusan sumber di tempat lain. Dalam keadaan semasa, ini adalah pertimbangan komersial yang penting.
“Asas industri pertahanan yang sedang kita bina ialah satu ekosistem di mana syarikat Malaysia mampu memperoleh dan mengekalkan kedudukan mereka dalam rantaian bekalan antarabangsa berdasarkan keupayaan serta kualiti kerja mereka.
“Disiplin yang membolehkan kontrak dimenangi juga harus memastikan kontrak itu kekal. Itulah satu-satunya asas yang wajar dibangunkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, faktor yang meletakkan pengeluar Malaysia dalam rantaian bekalan komersial paling mencabar di dunia adalah sama relevannya dengan negara lain.
Dalam kalangan pemain industri aeroangkasa dan pertahanan, beliau berkata Malaysia menggarap budaya ketepatan dan akauntabiliti yang memenuhi kehendak pembeli komersial yang paling teliti.
Dalam konteks mencakupi peranan kerajaan pula, beliau komited untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif serta bertanggungjawab memastikan asas atau ekosistem yang menyokong keputusan berkualiti tinggi.
“Dalam kebanyakan platform, ia membabitkan disiplin yang sama, dilaksanakan oleh tenaga kerja yang sama dan di fasiliti yang sama.
“Oleh itu, kepada kontraktor utama dan pembekal Tier 1 di sini (NATSEC) datanglah mengenali pengeluar kami. Luangkan masa bersama mereka.
“Sebahagian daripada anda telah pun melakukannya dan saya menggalakkan yang lain untuk mempertimbangkan dengan serius,” katanya.


