SEORANG pengarah syarikat yang mengendalikan perniagaan spa dan pusat kecantikan didakwa di Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini atas 12 pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan berjumlah RM89,093.82 termasuk penalti.
Orang Kena Saman (OKS), Foo Kok Keong, 44, yang mewakili syarikat Areoma Wellness Sdn. Bhd., bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, syarikat itu selaku Orang Berdaftar di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807) didakwa gagal menjelaskan cukai perkhidmatan bagi tempoh bercukai antara 1 Jun 2024 hingga 21 Julai 2025.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Pendaftaran dan Pengurusan Hasil, Kompleks Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Seberang Jaya, antara 3 September 2024 hingga 3 September 2025.
Foo didakwa mengikut Seksyen 26(8) Akta Cukai Jualan 2018 dibaca bersama Seksyen 78 Akta Cukai Perkhidmatan 2018, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, S Bakialetchumy, manakala OKS diwakili peguam, P Vaasu, lapor Harian Metro.
Mahkamah menetapkan 7 Disember depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.





