Mangsa SUV jatuh gaung dalam perjalanan pulang urus persiapan kahwin

IBU kepada pengusaha kantin yang maut dalam nahas di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah) di Kuala Berang, Terengganu semalam memaklumkan anaknya dalam perjalanan pulang ke Lebir, Gua Musang bersama pasangannya selepas membuat persiapan majlis perkahwinan di Terengganu.

Fauziah Mahmood, 58, berkata, menurut pihak polis, terdapat baju pengantin dalam kenderaan dinaiki anaknya, Suzaimah Che Azis, 34, bersama Hassan Shazali, 52, ketika kenderaan utiliti sukan (SUV) itu terjatuh ke gaung.

Menurutnya, Suzaimah bagaimanapun tidak memaklumkan kepadanya akan ke Terengganu ketika kali terakhir beliau berhubung dengan anaknya kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

“Biasanya, Ja (Suzaimah) akan maklumkan saya dahulu kalau nak ke mana-mana. Namun, pada hari kejadian, arwah cuma telefon untuk bincang soal barang-barang di kantin.

“Pada awalnya, saya mendapat berita kematian daripada jiran, tetapi rasa macam tidak percaya sehinggalah polis menelefon dan memaklumkan kira-kira 7.30 malam semalam,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Hulu Terengganu, lapor Bernama.

Fauziah berkata, anaknya yang mempunyai tiga anak berusia tujuh hingga 15 tahun daripada perkahwinan terdahulu merancang membuat majlis kecil-kecilan pada 25 Disember ini dengan menjemput ahli keluarga terdekat.

“Antara persiapan telah dibuat adalah lima dulang hantaran. Kalau ikutkan, 20 Disember ini keluarga sebelah lelaki akan ke rumah untuk berbincang lanjut, tetapi tak sangka jadi begini,” katanya sambil memaklumkan jenazah Suzaimah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Lebir, Gua Musang, petang ini.

Sementara itu, isteri kepada Allahyarham Hassan, Che Norhashimah Hassan, 50, terkejut dihubungi polis memaklumkan kejadian itu kira-kira jam 8 malam tadi.

Beliau berkata, suaminya penolong kanan kokurikulum di Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir dan mereka kini dalam proses perceraian serta hampir tiga bulan tinggal berasingan.

“Arwah adalah guru dan ayah yang baik. Walaupun sedih, saya reda dengan pemergiannya dan berdoa semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.”

Norhashimah yang juga guru berkata, jenazah suaminya akan dikebumi di Tanah Perkuburan Kampung Kedai Menanti di Pasir Puteh, Kelantan.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img